Penjawat awam jimat 334,000 liter minyak melalui dasar BDR - Utusan Malaysia

Penjawat awam jimat 334,000 liter minyak melalui dasar BDR

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam merekodkan penjimatan bahan api sebanyak 334,000 liter minyak bersamaan RM678,000 sejak ia dikuatkuasakan 15 April lalu.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini berhubung status pelaksanaan dasar itu bagi penjawat awam selepas seminggu dilaksanakan.

“Setakat hari ini, jumlah penjawat awam yang mendaftar di bawah program BDR telah mencecah 155,000 orang.

“Sejak 15 April lalu sehingga semalam dianggarkan penjimatan yang telah berjaya dilakukan adalah 334,000 liter minyak bersamaan dengan penjimatan RM678,000,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, Ketua Setiausaha Negara juga telah diminta untuk mendapatkan data penjimatan sama daripada sektor swasta menerusi inisiatif bekerja dari rumah.

“Maklumat daripada sektor swasta itu penting bagi melihat secara keseluruhan penjimatan yang berjaya diperoleh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengingatkan Jemaah Menteri supaya langkah BDR turut membabitkan agensi-agensi bawah kementerian.

“Perdana Menteri mengingatkan bahawa langkah itu perlu diberi keutamaan bagi memastikan bekalan bahan bakar dapat dilanjutkan.

“Langkah lain termasuk melaksanakan lebih banyak mesyuarat secara dalam talian yakni mengurangkan mesyuarat secara bersemuka serta mengurangkan program dan perjalanan ke luar negara.

“Langkah penjimatan lain termasuk mengutamakan premis agensi atau kerajaan bagi pelaksanaan bengkel dan program-program latihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN