KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Jo-anna Sue Henley Rampas, 33, sekali lagi bakal berhadapan dengan musuh lama di kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jo-anna yang pernah tewas kepada Datuk Joniston Bangkuai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada PRU-14, sekali lagi berhadapan dengan lawan yang sama pada pilihan raya kali ini.
Namun, kali ini beliau akan turut berhadapan dengan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang merupakan rakan seperjuangan semasa Kerajaan Warisan Plus memerintah Sabah.
Walaupun berhadapan nama besar namun, wanita muda ini tidak sedikit pun gentar untuk memberi saingan sengit kepada kedua-dua lawannya di kerusi tersebut.
“Kali ini memang menarik kerana saya bukan hanya bertembung dengan Datuk Joniston tetapi juga Datuk Seri Madius. Pada 2018, kedua-dua mereka (Barisan Nasional) ini bersaing menentang Warisan dan pilihan raya kali ini, kami berlawan antara satu sama lain.
“Apa yang lebih menarik adakah ketiga-tiga calon ini merupakan pemimpin dari Kiulu. Ini membuktikan Kiulu telah melahirkan pemimpin-pemimpin yang berpotensi dan saya amat bangga dengan itu,” katanya.
Menurut beliau, walaupun pada masa ini, kesemua kerusi DUN di bawah Parlimen Tuaran milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional namun, itu bukan bermakna kerusi Parlimen juga harus jatuh ke tangan parti pemerintah.
Katanya, perlu ada pemimpin lain yang boleh melakukan semak dan imbang di kawasan berkenaan bagi membolehkan pembangunan di kawasan Tuaran dapat dilakukan dengan lebih efisien.
Jo-anna berkata, pada masa ini peratusan pengundi muda di Tuaran antara 60 hingga 65 peratus maka, itu memberi kelebihan kepadanya untuk mendekati pengundi muda melalui medium media sosial.
“Maka, kita akan menggunakan media sosial seperti TikTok untuk mendekati anak-anak muda bagi menyebarkan maklumat. Namun, itu bukan bermakna kita tidak akan turun ke lapangan.
“Kita juga harus ingat terdapat 30-40 peratus pengundi yang berusia perlu didekati secara bersemuka, jadi kena ada keseimbangan dalam mendekati pengundi,” katanya. –UTUSAN










