PRU15: Mampu rampas Selangor jika menang 10 kerusi Parlimen

PRU15: Mampu rampas Selangor jika BN menang 10 kerusi Parlimen

pru15
NOH Omar ketika berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Barisan Nasional (BN) Selangor optimis merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang sekiranya parti berkenaan memenangi 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya percaya BN akan bangkit semula pada PRU kali ini lebih-lebih lagi dengan kehadiran beberapa nama besar sebagai calon Parlimen di Selangor.

Jelasnya, Selangor mempunyai dua tokoh hebat yang dikenali sehingga peringkat antarabangsa iaitu Khairy Jamaluddin yang merupakan calon BN di Parlimen Sungai Buloh dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon di Kuala Selangor.

“Bayangkan kalau kita boleh menang Parlimen sekurang-kurangnya 10 Parlimen saya yakin Pilihan Raya DUN yang mungkin diadakan lebih kurang enam bulan lagi insya-Allah kita boleh rampas kembali kerajaan negeri Selangor.

“Sebab itu kita kena buktikan menang di Selangor dahulu dan insya-Allah saya yakin kita akan bangkit semula sekurang-kurangnya 10 kerusi di Parlimen kita akan dapat di Selangor,” katanya ketika berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama, di sini.

Menurut Noh, beliau seorang tidak mampu untuk membangkitkan semula BN di Selangor walaupun menjadi satu-satunya calon yang memenangi kerusi daripada 22 Parlimen di negeri ini pada PRU14.

“Saya perlukan muka baharu, tenaga baharu dan juga pemimpin-pemimpin yang bukan sahaja dilihat peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa seperti saudara KJ dan Tengku Zafrul yang sanggup datang ke Selangor.

“Kedua-dua ini hendak ke Negeri Sembilan Tengku Zafrul hendak bertanding di Kuala Pilah tetapi alhamdulillah dia datang ke Kuala Selangor dan saya lega bila Tengku Zafrul diterima di Kuala Selangor.

“Saya jumpa Khairy bila dia kata tiada tempat di Negeri Sembilan tiada rumah saya berbincang dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh yang berjiwa besar bersetuju untuk KJ di Sungai Buloh,” katanya.

Tambahnya kehadiran dua pemimpin muda tersebut menjadikan Selangor sebagai negeri yang mempunyai dua pemimpin muda dan tokoh hebat yang dilihat mampu membawa pembangunan hebat pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN