Moody's kekalkan penarafan A3 Malaysia, unjur ekonomi berkembang pantas

Moody’s kekalkan penarafan A3 Malaysia, unjur ekonomi berkembang pantas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Ratings (Moody’s) mengekalkan penarafan berdaulat Malaysia pada tahap A3 dengan Tinjauan Stabil selepas selesai menjalankan semakan berkala, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi negara serta prospek pertumbuhan jangka sederhana.

Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang lebih pantas pada 2026 berbanding negara lain yang mempunyai penarafan setara, didorong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, sumber asli yang mencukupi serta simpanan domestik yang besar.

Agensi itu melaporkan kekuatan tersebut bersama asas pelabur domestik yang kukuh terus menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan dan mengekalkan kos pinjaman pada tahap sederhana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian Moody’s membuktikan daya tahan ekonomi Malaysia di samping kemajuan yang dicapai dalam memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan tadbir urus dan meluaskan asas hasil negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pengiktirafan itu tidak seharusnya menyebabkan kerajaan berasa selesa, sebaliknya menjadi pemangkin untuk meneruskan agenda reformasi ekonomi.

“Agenda reformasi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, masih panjang perjalanan sebelum hasilnya dapat dirasai sepenuhnya. Penilaian ini tidak seharusnya menjadikan kita alpa atau leka.

“Sebaliknya, ia harus memperkukuh tekad kita untuk terus mempergiat ikhtiar reformasi demi memastikan pengurusan ekonomi yang berhemah benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang yang lebih luas serta kesejahteraan yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, dalam suasana ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global yang berterusan, Malaysia perlu terus memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar serta momentum reformasi.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekonomi negara dan memperkukuh asas pertumbuhan yang mampan.

Sementara itu, Moody’s memaklumkan ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 5.2 peratus bagi keseluruhan tahun 2025.

Prestasi lebih kukuh itu disokong oleh permintaan domestik yang memberangsangkan, khususnya penggunaan dan pelaburan swasta, selain peningkatan eksport produk elektronik.

Agensi penarafan berkenaan turut mengiktiraf pembaharuan hasil yang dilaksanakan sejak 2023 berjaya memperluaskan asas cukai kerajaan, sekali gus menyokong usaha konsolidasi fiskal secara beransur-ansur walaupun berdepan peningkatan subsidi akibat harga tenaga global yang tinggi serta pertambahan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Selain itu, Moody’s turut mengiktiraf kekuatan institusi eksekutif dan perundangan negara, rekod penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, keadaan pembiayaan domestik yang menggalakkan serta kestabilan makroekonomi negara.

“Tinjauan Stabil yang dikekalkan mencerminkan keseimbangan risiko terhadap profil kredit negara, dengan prestasi ekonomi yang lebih kukuh dan konsolidasi fiskal lebih pantas berpotensi meningkatkan hasil kerajaan serta mengurangkan beban hutang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa petunjuk ekonomi lain turut menunjukkan pengukuhan asas ekonomi negara apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada suku pertama 2026, paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.

Dalam tempoh sama, jumlah guna tenaga meningkat kepada 16.7 juta orang dengan sebanyak 48,500 peluang pekerjaan baharu diwujudkan.

Malaysia turut melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026, iaitu pencapaian terbaik sejak 2020.

Pada masa sama, ringgit mengukuh 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang 2025, sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia bagi tahun berkenaan.

Kerajaan Madani kekal komited melaksanakan objektif fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 melalui usaha memperluaskan asas hasil, meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memperkukuh ketelusan fiskal serta menambah baik penyasaran subsidi tanpa menjejaskan kebajikan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN