SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura pada Selasa mengarahkan agensi berita Bloomberg membayar ganti rugi sebanyak S$230,000 (RM725,000) kepada setiap seorang daripada dua menteri kanan kerajaan Singapura dalam satu kes fitnah yang berkaitan dengan laporan mengenai urus niaga hartanah mewah.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam dan Menteri Tenaga Manusia, Tan See Leng, memfailkan saman terhadap organisasi berita global berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu serta wartawannya, Low De Wei, pada Januari 2025, dengan mendakwa artikel berkenaan telah menjejaskan reputasi mereka.
Artikel bertajuk ‘Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy’ atau ‘Urus Niaga Rumah Agam di Singapura Semakin Diselubungi Kerahsiaan’ itu mengupas mengenai kediaman mewah yang dikenali sebagai Good Class Bungalows (GCB) dan mendakwa banyak urus niaga pembelian tidak mempunyai rekod pemfailan undang-undang, sekali gus menyukarkan transaksi tersebut dikesan.
Artikel itu turut merujuk kepada urus niaga hartanah yang melibatkan kedua-dua menteri Kabinet berkenaan.
Hakim Audrey Lim dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada Selasa memutuskan bahawa artikel itu memfitnah kedua-dua menteri tersebut.
Lim mengarahkan Bloomberg membayar ganti rugi am sebanyak S$170,000 (RM536,000) dan tambahan S$60,000 (RM189,000) sebagai ganti rugi teruk, termasuk atas unsur niat jahat, selepas menolak pembelaan Bloomberg bahawa artikel itu diterbitkan demi kepentingan awam.
Ketua Pengarang Bloomberg, John Micklethwait berkata, agensi berita itu kecewa dengan keputusan mahkamah tersebut tetapi akan menghormatinya. – AFP










