PRU15: Kamalanathan calon BN di Port Dickson?

PRU-15: Kamalanathan calon BN di Port Dickson?

pru15
P Kamalanathan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan disebut-sebut sebagai calon yang akan diletakkan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC telah berada di Port Dickson bertemu dengan penduduk.

Ia selepas namanya dipilih oleh kepemimpinan tertinggi MIC untuk bertanding di kerusi berkenaan yang sememangnya menjadi kerusi tradisi buat parti itu.

“Setakat hari ini beliau telah turun meninjau untuk melihat sokongan daripada pengundi-pengundi di Port Dickson lagipun kerusi ini sememangnya kerusi tradisi buat MIC.

“Walau apa pun, di Port Dickson kami masih menunggu keputusan rasmi kerana apa juga boleh terjadi,” kata sumber itu ketika dihubungi.

BN yang diwakili calon dari MIC tewas di kerusi tersebut sejak tiga penggal yang lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi Parlimen Port Dickson, Pakatan Harapan (PH) yelah memenangi kerusi tersebut menerusi Datuk Danyal Balagopal Abdullah dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon BN dan Pas.

Beliau bagaimanapun mengosongkan kerusi itu bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018 dalam usaha membawa Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRK berkenaan, Anwar memenanginya dengan majoriti 23,560 undi dalam pertembungan dengan enam calon lain, tidak termasuk BN yang tidak meletakkan calon pada waktu itu.

Selepas Anwar memilih bertanding di kerusi Tambun di Perak pada PRU-15 ini, PH mencalonkan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi mempertahankan kerusi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN