Sindiket edar, cuci dadah terbongkar

Sindiket edar, cuci dadah terbongkar

KAMARUL Zaman Mamat menunjukkan rampasan dadah bernilai RM1.1 juta dalam sidang akhbar di IPK, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket mengedar dan mencuci dadah lama terbongkar apabila tiga individu termasuk seorang wanita diberkas polis dalam tiga serbuan di Johor Bahru dan Pekan Nanas, Pontian, kelmarin. 

Dalam serbuan pukul 11.15 pagi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 15.49 kilogram berjumlah RM644,195.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu termasuk seorang lelaki warga asing ditahan berusia antara 32 tahun hingga 49 tahun.

“Hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Modus operandi kegiatan pengedaran ini adalah dengan menyewa apartmen mewah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat penyimpanan dan mencuci dadah.  

“Berdasarkan penemuan bahan kimia di lokasi, menunjukkan terdapat proses pencucian dadah, mungkin dadah lama nak dibaharukan melibatkan dadah jenis ice atau syabu.

“Sindiket ini menggunakan khidmat pakar yang melakukan proses mencuci dadah lama sebelum diedarkan ke dalam pasaran tempatan mahupun luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Dalam serbuan itu, polis merampas 11.13kg syabu, 4.23kg ketamin dan 139 gram pil erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM644,195 yang boleh digunakan seramai 77,280 penagih.  Polis turut menyita enam buah kereta, pelbagai barang kemas, beberapa botol bahan pencuci dan wang tunai berjumlah RM109,840. 

Katanya, Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 16 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, suspek warga asing itu turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara kerana memiliki pasport dan kad pengenalan yang disyaki palsu.

“Suspek warga asing itu pernah dua kali ditangkap bagi kes dadah pada dua tahun lalu, namun terlepas daripada dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39B,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya