Kestabilan politik penting tarik pelaburan – PM

Kestabilan politik penting tarik pelaburan – PM

ANWAR Ibrahim semasa majlis pecah tanah Projek Madani Link di Sipitang, Sabah, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan dan memastikan kerajaan dapat memberi tumpu­an sepenuhnya kepada agenda pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, sekiranya politik tidak stabil, pelabur tidak akan datang dan kerajaan juga sukar untuk memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Sebab itu saya sentiasa menegaskan bahawa hubu­ngan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh demi memastikan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Pecah Tanah Madani Link di Dewan Lundayeh, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Kewang­an Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Anwar turut menarik perhatian, hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara luar dan kestabilan politik dalam negara menjadi faktor penting dalam memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global.

Perdana Menteri berkata, dunia kini dalam keadaan terumbang-ambing akibat krisis kekurangan bekalan tenaga berikutan konflik di Asia Barat yang turut menjejaskan laluan Selat Hormuz hingga menyebabkan harga minyak dunia melambung tinggi.

Beliau berkata, situasi itu menyaksikan beberapa negara termasuk dalam kalangan anggota ASEAN terpaksa mengambil tindakan drastik menutup operasi sekitar 400 stesen mi­nyak kerana kekurangan bekalan.

Katanya, Malaysia bersyu­kur kerana masih mampu mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun berdepan tekanan kenaikan harga tenaga di peringkat global.

Kerajaan juga katanya, turut mengambil pendekatan bersasar dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bagi memastikan golongan petani, nelayan, pengusaha bas sekolah dan sektor pengangkutan awam tidak terbeban.

Dalam pada itu, beliau meluluskan peruntukan khas berjumlah RM250,000 bagi tujuan pembangunan meliputi kerja-kerja membaik pulih kemudahan asas di semua sekolah menengah di daerah ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan yang diluluskan serta-merta itu akan digunakan bagi membantu meningkatkan kemudahan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN