Kebocoran data pemberi maklumat jejaskan siasatan - Utusan Malaysia

Kebocoran data pemberi maklumat jejaskan siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendedahan tanpa kebenaran dokumen berkaitan pemberi maklumat boleh menjejaskan siasatan, mendedahkan individu terbabit kepada risiko serius serta mengganggu pentadbiran keadilan.

Pakar perundangan Datuk J Shamesh berkata, kebocoran dokumen sulit bukan sahaja melanggar kewajipan kerahsiaan, malah berpotensi merumitkan prosiding litigasi dan penguatkuasaan kerana boleh menjejaskan integriti proses pengendalian bukti.

“Sesebuah siasatan boleh terganggu apabila kebocoran maklumat memberi amaran awal kepada suspek, sekali gus berpotensi menjejaskan proses pengumpulan, pemeliharaan dan kebolehterimaan bukti.

“Perlindungan terhadap maklumat pemberi maklumat amat penting bagi memastikan individu tampil menyalurkan maklumat tanpa rasa takut terhadap tindakan balas, selain membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan berkesan,” katanya.

Shamesh berkata, kerahsiaan maklumat sedemikian juga penting bagi melindungi individu yang melaporkan salah laku serta mengekalkan keyakinan awam terhadap proses siasatan.

Beliau berkata, pendedahan tanpa kebenaran membawa implikasi undang-undang yang serius kerana Seksyen 10 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan bahawa mendedahkan maklumat berkaitan pemberi maklumat tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.

Selain implikasi undang-undang, beliau berkata kebocoran maklumat boleh memberi kesan buruk kepada pemberi maklumat, termasuk menjejaskan kerjaya dan reputasi, selain berdepan ugutan, gangguan serta ancaman terhadap keselamatan diri.

“Pemberi maklumat yang percaya identiti mereka atau dokumen sulit yang diserahkan kepada pihak berkuasa telah didedahkan tidak kehilangan hak untuk mendapatkan remedi undang-undang.

“Mereka boleh membuat laporan polis, memulakan tindakan sivil bagi menuntut pampasan atas kerugian yang timbul akibat kebocoran tersebut, serta memohon injunksi untuk menghalang penyebaran lanjut maklumat sulit atau pendedahan identiti mereka,” katanya.

Beliau turut berkata pemberi maklumat boleh mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, dengan menyatakan bahawa Seksyen 7 menyediakan perlindungan kepada individu yang dilindungi di bawah akta tersebut.

“Perlindungan yang disediakan di bawah akta ini bertujuan menggalakkan pendedahan salah laku, sambil melindungi pemberi maklumat daripada sebarang kesan buruk yang mungkin timbul,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN