Pengambilan guru ditambah

Pengambilan guru ditambah

RADZI Jidin pada sesi forum sempena Program Wacana Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli Kampung Bawong di Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru baharu di sekolah daripada kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang setahun sebelum ini kepada satu angka  yang lebih besar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin  berkata, pertambahan jumlah pengambilan jumlah guru baharu itu akan dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kementerian bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan akan berusaha untuk melaksanakan pengambilan lebih ramai guru baharu setiap tahun.

“Sewaktu saya masuk ke kementerian, kekosongan guru pada masa itu sebanyak 18,702 orang  dan selepas kita buat pengambilan one-off guru, kita telah dapat mengambil lebih 16,000 orang, iaitu 88 peratus daripada keseluruhan.

“Pengambilan guru secara secara one-off ini antara pengambilan guru terbesar yang pernah dibuat.  Biasanya setiap tahun sekitar 4,000 atau 5,000 orang guru sahaja diambil namun apabila kita tukar pendekatan kepada sistem kluster, kita lihat pengambilan guru boleh kita tingkatkan.

“Tahun ini juga kita akan teruskan pengambilan guru dan kita sedang ikhtiarkan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk kita ambil jumlah yang lebih ramai daripada sebelum ini, kita sedang usahakan, jumlahnya kita jangka akan lebih daripada yang diambil sebelum wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Wacana Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli Kampung Bawong di sini hari ini.

Menurutnya, antara faktor menyebabkan kekurangan guru sebelum ini ialah berlaku backlog atau pengambilan guru yang tertangguh.

Katanya, semasa beliau mula bertugas di kementerian, sudah berlaku kekurangan guru sebanyak 18,000 orang kerana pengambilan baharu guru yang lama tertangguh.

“Namun saya lihat banyak bekalan guru dalam konteks graduan pendidikan. Apabila kita dalami lagi masalah ini, isunya adalah ketidaksepadanan antara opsyen graduan yang keluar dengan opsyen kekosongan di sekolah.

“Sebab itu kita perkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pengambilan guru adalah berdasarkan kluster mata pelajaran,” katanya. 

Mengulas lanjut, Radzi berkata, contohnya dahulu jika dahulu graduan pendidikan dalam bidang fizik, kena tunggu ada kekosongan opsyen fizik di sekolah baru boleh diambil mengajar.

Katanya, namun kementerian berbincang jika graduan fizik untuk mengajar mata pelajaran fizik sudah tentu tahu matematik bermakna graduan fizik ini boleh mengajar fizik, boleh mengajar matematik. 

“Kemudian kita lihat pula setiap kursus itu course outline untuk melihat berapa mata pelajaran yang dibuat dan daripada situ kita akan senaraikan. 

“Katakan graduan fizik boleh mengajar fizik, matematik dan sebagainya, jadi melalui pendekatan ini kita akan dapat ‘pool’ yang lebih besar.

“Sebab itu pengambilan guru kita dapat selesaikan dengan lebih tinggi peratusan pengambilan dan jumlah pengambilan itu sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN