PETALING JAYA : Selangor FC mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir Piala FA selepas menumbangkan Sabah FC, 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.
Hadir dengan prestasi kurang konsisten dalam saingan Liga Super, anak didik Michael Feichtenbeiner tampil dengan aksi menyakinkan di pentas suku akhir untuk menghampakan penyokong The Rhinos.
Penyerang import Selangor, Hyuri Henrique mengejutkan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol pendahuluan seawal minit pertama.
Gol berpunca dari kebijaksanaan Henrique yang berjaya melepaskan diri dari perangkap offside untuk menewaskan penjaga gawang Sabah, Damien Lim.
Jaringan tersebut nyata memberi impak ketara buat tuan rumah yang memburu gol penyamaan menerusi gandingan Mohd Amri Yahya dan Saddil Ramdani serta Park Tae Su.
Permainan rancak disajikan kedua pasukan dengan tuan rumah dilihat lebih agresif memburu gol penyamaan namun jaringan Henrique itu kekal sehinggalah tamat 45 minit babak pertama.
Bersambung babak kedua, ketika Sabah ghairah melancarkan serangan, pelawat hampir menggandakan kelebihan jaringan menerusi Henrique namun Damien bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Sabah turut berpeluang menjaringkan gol menerusi percubaaan Amri dan Saddil namun ketangkasan Samuel Somerville menafikan impian Sabah.
Keghairahan anak didik Datuk Ong Kim Swee memburu gol penyamaan membawa padah apabila Selangor berjaya menjaringkan gol kedua menerusi serangan balas yang disempurnakan Herlison Caion pada minit ke-81.
Ketinggalan dua gol tidak melemahkan semangat Sabah yang terus berusaha mendapatkan gol pertama namun kekentalan benteng dan tahap disipilin tinggi Gergasi Merah Kuning memastikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini memastikan Selangor bakal bertemu pemenang perlawanan diantara Terengganu FC dan Kuching City FC yang ketika ini sedang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kuala Terengganu.
Kali terakhir Selangor melangkah ke pentas akhir Piala FA adalah pada 2009 dan menamatkan saingan dengan kejuaraan menewaskan Kelantan 4-1.-UTUSAN ONLINE