KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhan Pusat Mediasi Malaysia (MMC) bagi memperluas akses kepada penyelesaian pertikaian secara lebih cepat, kos efektif dan mesra rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh sistem keadilan negara melalui pendekatan penyelesaian alternatif (ADR).
Menurut beliau, MMC dicadang diwujudkan di bawah Jabatan Bantuan Guaman dengan sokongan peruntukan undang-undang menerusi Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025.
Katanya, penubuhan pusat tersebut akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu memperluas akses kepada perkhidmatan mediasi khususnya untuk golongan B40 dan M40.
“Ini membolehkan pertikaian harian diselesaikan dengan lebih cepat, kos rendah dan kurang bersifat konfrontasi berbanding proses mahkamah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut merancang memperluas kumpulan mediator melalui pelantikan individu berkelayakan termasuk peguam sektor swasta, hakim bersara serta profesional lain.
Katanya, aspek kualiti dan keseragaman perkhidmatan mediasi juga akan diperkukuh menerusi latihan berstruktur dan pembangunan kapasiti melibatkan pelbagai agensi serta institusi berkaitan.
Menurut Azalina, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjadikan mediasi sebagai salah satu tonggak utama akses kepada keadilan dan mengurangkan kebergantungan kepada litigasi yang sering melibatkan kos tinggi dan tempoh yang panjang.
“Bagi menyokong aspirasi kerajaan, Asian International Arbitration Centre (AIAC) akan melaksanakan inisiatif Pro Bono Commercial Mediation yang menyediakan penyelesaian berbantukan bagi pertikaian komersial pada had tertentu.
“Inisiatif ini akan diperkukuh melalui panel mediator yang dilantik khusus, dengan tumpuan kepada penyelesaian secara baik, berkesan serta menyumbang kepada pertumbuhan berterusan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










