Pemandu didakwa pandu rempuh dua motosikal

Pemandu didakwa pandu rempuh dua motosikal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara melulu sehingga membahayakan dua penunggang motosikal semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, T.S Kugenthiran, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmin Tuan Roslan.

Mengikut pertuduhan, Kugenthiran didakwa memandu secara melulu sehingga membahayakan dua motosikal yang ditunggang oleh Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail dari arah pusat bandar menghala ke arah Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 4.30 pagi, 2 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM15,000 selain hilang kelayakan lesen memandu maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd. Razib mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun peguam bela, Ahmad Nadzli Rizal yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan.

“Penjamin tertuduh adalah bapa kandungnya berusia 51 tahun yang berpendapatan RM4,000 sebulan dan menanggung isterinya yang juga suri rumah serta adik-beradik lain,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Jun ini bagi proses serahan dokumen.

Semalam, media melaporkan dua penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan dipandu suspek disyaki melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Ismail pada pukul 4.27 pagi.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa lelaki yang menaiki motosikal berusia 24 tahun putus kaki kiri, manakala seorang remaja lelaki berusia 19 tahun patah tangan dan kaki kiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN