KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala FA selepas tewas 1-0 di tangan Selangor pada pusingan kedua kempen berkenaan.
Dalam aksi derbi Lembah Klang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi menyaksikan Red Giants bermula garang apabila membuka tirai jaringan pada minit keempat namun tandukan Herlison Caion dibatalkan pengadil perlawanan selepas didakwa mengasari pertahanan pasukan pelawat.
Tersentak dengan serangan itu, skuad kendalian Bojan Hodak beberapa kali menguji benteng tuan rumah namun gagal menembusi gawang yang dikawal Samuel Somerville.
Red Giants yang memerlukan kemenangan bagi menyelamatkan kedudukan pengendalinya dari Jerman, Michael Feichtenbeiner dilihat lebih banyak menguasai perlawanan babak pertama tetapi gagal menemui sentuhan penyudah.
Bersambung babak kedua, Gergasi Merah Kuning terus meningkatkan intensiti serangan dengan melancarkan beberapa serangan namun gagal mengatasi pertahanan tengah KL City, Giancarlo Gallfuoco dan Irfan Zakaria.
Begitupun, kemasukan pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau nyata membuahkan hasil apabila memecah kebuntuan gol dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-60.
Jaringan tersebut, terhasil selepas kesilapan pertahanan KL City sebelum dimanfaatkan dengan baik oleh pemain berusia 21 tahun itu untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Kevin Mendoza.
The City Boys hampir menyamakan kedudukan namun percubaan lemah dilakukan Jordan Mintah berjaya ditepis keluar oleh Somerville.
Minit terakhir perlawanan benteng Selangor terus ditekan oleh KL City namun, ketangkasan Somerville berjaya memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor akan berdepan Sabah dalam aksi suku akhir, malah ia turut meredakan seketika tekanan terhadap barisan kejurulatihan Jerman yang didesak penyokong supaya dipecat selepas gagal memberi impak besar.- UTUSAN ONLINE