Lebih 1,000 kematian akibat cuaca panas di Eropah

Lebih 1,000 kematian akibat cuaca panas di Eropah

PASUKAN bomba memadamkan kebakaran hutan di Pumarejo de Tera di utara Sepanyol. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pasukan bomba di Perancis dan Sepanyol sehingga kini terus berusaha memadam kebakaran hutan yang semakin merebak, menyaksikan sebahagian kawasan di seluruh Eropah hampir lumpuh.

Kebakaran hutan yang turut berlaku di Portugal, Greece, Turkiye dan Croatia akibat cuaca panas melampau menyaksikan lebih 1,000 orang terkorban setakat ini.

Tiada kes kematian akibat kebakaran hutan dan kebanyakannya melibatkan strok haba dan serangan jantung akibat cuaca panas.

Berdasarkan data yang dikumpul agensi kaji cuaca, sebanyak 1,027 kematian berlaku di Portugal dan Sepanyol dengan 440 kematian direkodkan pada Khamis lalu apabila suhu mencecah 47 darjah Celsius.

Sehingga Sabtu lalu, sebanyak 360 kematian berkaitan cuaca panas di Sepanyol dengan 237 daripadanya berkaitan suhu panas.

Dalam pada itu, kebakaran di hutan pokok pine di barat daya Perancis dilaporkan masih belum reda selepas enam hari terbakar.

Keadaan itu menyebabkan lebih 14,000 penduduk di kawasan sekitar, termasuk pelancong dipindahkan sebagai langkah keselamatan.

Di Sepanyol, pasukan bomba bertungkus-lumus memadam 30 kebakaran hutan yang berlaku di seluruh negara.

Pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan, keadaan berangin menyukarkan operasi pemadaman api, selain cuaca panas dan kering turut menyumbang kepada situasi lebih buruk.

Selain itu, sesetengah kawasan kebakaran sukar dimasuki pasukan bomba, menyebabkan api terus merebak ke bahagian lain.

Seramai 659 orang maut di Portugal sehingga Jumaat lalu dengan kebanyakannya melibatkan warga emas yang terkena strok haba dan serangan jantung.

Dalam pada itu di Britain, agensi kaji cuaca meramalkan negara itu bakal merekodkan suhu setinggi 40 darjah Celsius dalam tempoh terdekat, sekali gus menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Rangkaian perkhidmatan kereta api dan tren Britain turut menasihatkan orang ramai untuk melakukan perjalanan jika perlu, selain bersedia menghadapi jadual ketibaan yang lambat dan pembatalan perjalanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya