PETALING JAYA: Walaupun masih dianggap antara pasukan baharu dalam arena olahraga universiti negara, UC TATI tidak mahu sekadar menjadi pelengkap saingan apabila meletakkan sasaran untuk melayakkan atletnya ke temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.
Memasuki musim kedua penyertaan dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF), institusi pengajian tinggi yang berpangkalan di Kemaman itu yakin mampu mencipta impak tersendiri menerusi kekuatan dalam acara jarak jauh yang menjadi sandaran utama pasukan.
Pengurus pasukan UC TATI, Ahmad Nur Aiman Ahmad Jalani berkata, pencapaian musim lalu membuktikan kemampuan pasukan itu untuk bersaing dengan universiti-universiti lebih berpengalaman meskipun hanya menduduki tangga keenam keseluruhan daripada 21 institusi yang mengambil bahagian.
Menurutnya, UC TATI ketika ini berada pada landasan terbaik terutama dalam acara 5,000 meter (m), 3,000m dan 3,000m lari berhalangan yang menjadi kekuatan utama pasukan.
“Ramai atlet kami masih aktif sebagai atlet sepenuh masa dan beraksi di peringkat kompetitif, sekali gus memberikan peluang yang cerah untuk mereka disenaraikan ke skuad AUG.
“Musim lalu, walaupun menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan, kami berjaya menampilkan prestasi konsisten dalam acara jarak jauh dan lari berhalangan yang sememangnya menjadi kekuatan pasukan.
“Bagi musim ini, sasaran kami bukan sahaja untuk memperbaiki pencapaian keseluruhan, malah menambah kutipan pingat,” katanya.
UC TATI memulakan kempen VTF 2026 dengan langkah kanan apabila meraih dua pingat emas pada siri pertama yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) pada April lalu menerusi acara 3,000m lari berhalangan lelaki dan 400m lari berpagar lelaki.
Ahmad Nur Aiman berkata, kejayaan tersebut telah menyuntik semangat pasukan untuk meneruskan momentum cemerlang pada siri kedua yang sedang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sehingga Ahad ini.
“Bagi siri kedua, kami mempertaruhkan tujuh atlet dalam beberapa acara balapan dan padang dengan harapan dapat menambah lagi koleksi pingat pasukan,” katanya.
Kini memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022, Kejohanan VTF dilihat sebagai platform penting dalam pembangunan atlet universiti di negara ini selain menjadi medan pemilihan ke temasya antarabangsa seperti AUG dan Sukan Universiti Dunia FISU. – UTUSAN










