Aduhai, sejak kebelakangan ini nama Cik B kembali menjadi sebutan ramai selepas kemunculannya di pentas TTMM. Biasalah, kalau sudah bergelar anak kepada figura terkenal dan usahawan sensasi, setiap langkah pasti diperhatikan, setiap persembahan pula akan dinilai dari atas sampai bawah.
Apa yang menjadi bualan kali ini bukan soal penampilan atau personalitinya yang santai, tetapi kemampuan vokalnya. Di media sosial, ada yang berpendapat suara Cik B masih belum cukup kuat untuk meyakinkan orang ramai bahawa dirinya seorang penyanyi. Malah, ada juga yang secara terbuka mengatakan nyanyian bukanlah kekuatan utama anak muda itu.
Dalam masa sama, timbul juga suara-suara nakal yang mendakwa peluang yang diterimanya di pentas berprofil tinggi mungkin dipengaruhi oleh status dan nama besar keluarganya. Namun, seperti biasa, dakwaan seperti itu hanyalah spekulasi orang ramai dan sukar untuk dipastikan kebenarannya.
Apa yang pasti, Cik B bukanlah individu yang langsung tidak mempunyai bakat. Kalau Cik Bunga perhatikan, kekuatan gadis ini sebenarnya terletak pada personaliti yang bersahaja, keyakinan diri dan cara dia berinteraksi dengan penonton.
Malah, jika diberi ruang dalam bidang lakonan atau rap, mungkin potensinya lebih menyerlah berbanding nyanyian konvensional yang memerlukan kawalan vokal yang mantap.
Dalam industri hiburan, tidak semua artis perlu menjadi penyanyi hebat. Ada yang menonjol sebagai pelakon, pengacara, pencipta kandungan atau rapper. Yang penting adalah mengenal pasti kelebihan sendiri dan mengasahnya sehingga menjadi identiti yang unik.
Cik Bunga percaya kritikan tidak semestinya bermaksud kebencian. Kadang-kadang, ia boleh menjadi cermin untuk melihat ruang yang masih boleh diperbaiki.
Jika benar nyanyian masih menjadi kelemahan, tiada salahnya mengambil lebih banyak kelas vokal, berlatih dengan jurulatih profesional dan membina kemahiran secara berperingkat.Nasihat Cik Bunga mudah sahaja. Jangan terlalu bergantung pada nama keluarga, tetapi jangan juga malu dengan kelebihan yang datang bersama nama tersebut.
Peluang mungkin boleh membuka pintu, tetapi untuk kekal relevan dalam industri, akhirnya bakat, usaha dan kerja keras yang akan menentukan sejauh mana seseorang itu mampu pergi.
Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti mereka yang mengkritik hari ini pula akan menjadi orang pertama yang berdiri memberikan tepukan. Dalam dunia hiburan, apa sahaja boleh berlaku. Yang penting, terus belajar dan jangan cepat berpuas hati. Itu lebih bernilai daripada sebarang kontroversi.










