Goh Jin Wei, Soong Joo Ven layak ke suku akhir Terbuka Taiwan

Goh Jin Wei, Soong Joo Ven ketuai Malaysia di suku akhir Terbuka Taiwan

GOH JIN WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tampil dengan aksi memukau untuk melakar kemenangan di pusingan kedua Terbuka Taiwan yang berlangsung sebentar tadi, apabila menumpaskan pemain Indonesia, Komang Ayu Cahaya Dewi, 21-11, 21-17 dalam tempoh 29 minit.

Menanti Jin Wei di suku akhir pada Rabu merupakan pilihan ketujuh kejohanan, Saena Kawakami dari Jepun yang pernah meranapkan impian pemain dari Pulau Pinang itu ketika final 2017.

Bekas rakan sepasukan dalam kem kebangsaan, Eoon Qi Xuan pula tidak begitu bernasib baik apabila disingkirkan pemain Amerika Syarikat, Lauren Lam, dengan keputusan 21-18, 15-21, 15-21.

Manakala aksi dalam saingan perseorangan lelaki menyaksikan wakil profesional negara, Soong Joo Ven pamer aksi juang yang tinggi apabila bangkit dari ketinggalan untuk merakamkan kemenangan ke atas pilihan keenam kejohanan, Koki Watanabe dari Jepun dengan keputusan 21-6, 25-23.

“Saya rasa saya dapat mengawal situasi tadi dengan baik memandangkan keadaan agak berangin di sini.

“Ketika ketinggalan, saya cuma fikir tiada apa yang mustahil, dan saya cuba kejar satu per satu mata sehingga berjaya.

“Untuk esok saya menentang pemain India (Kashyap Paruppali), dia seorang pemain yang berpengalaman, jadi saya perlu beri lebih banyak tumpuan agar tidak beri banyak mata mudah buat dia,” jelas Joo Ven kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun nasib berbeza menimpa seorang lagi wakil negara dalam acara itu apabila Leong Jun Hao ditunjukkan jalan keluar oleh sandaran utama tuan rumah, Wang Tzu Wei dengan keputusan 10-21, 15-21.

Terdahulu, beregu campuran negara, Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ronn meneruskan aksi cemerlang mereka dengan menyingkirkan pasangan tuan rumah, Lee Jhe-Huei dan Hsu Ya Ching yang merupakan pilihan ketiga kejohanan dengan keputusan 21-23, 23-21, 21-14.

Malang buat Goh V Shem yang kembali bergandingan dengan rakan lama, Lim Khim Wah apabila perjalanan mereka dalam saingan ini disekat Lee Chia Han dan Lin Yong Sheng, 18-21, 21-17, 18-21.

Namun pasangan muda negara, Tee Kai Wun dan Man Wei Chong memastikan Malaysia punyai wakil dalam acara beregu lelaki di peringkat suku akhir apabila unggul untuk menewaskan Cheng Kai Wen dan Liu Kuang Heng dengan keputusan 22-20, 21-18.

Kecemerlangan kem negara ditutup dengan gemilang apabila gandingan beregu lelaki profesional, Boon Xin Yuan dan Wong Tien Ci membuat kejutan dengan menyingkirkan pilihan ketiga kejohanan Lu Ching Yao dan Yang Po Han dengan keputusan 21-16, 21-11 dalam tempoh 36 minit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya