UMNO sukar menang jika solo

UMNO sukar menang jika solo

KEJAYAAN yang dicapai UMNO dalam beberapa siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri sejak 2018 bukan jaminan parti itu akan terus meraih kemenangan jika memutuskan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO dijangka sukar membentuk kerajaan de­ngan majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika memilih untuk bergerak solo menentang Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Pakatan Harapan (PH).

Sumber dalaman UMNO memberitahu Utusan Malaysia, keadaan akan jadi lebih berbahaya buat UMNO, jika Pas dan Bersatu memutuskan untuk bergabung dalam satu perikatan yang mutlak dan bertanding menentang UMNO dalam pilihan raya akan datang.

Hal ini kerana, sekali pun perikatan itu tidak menyertai khemah besar Pakatan Harapan (PH), namun, Pas dan Bersatu tidak mustahil akan membentuk gabungan dengan Parti Warisan (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), sekali gus menambah persaingan sengit buat UMNO yang turut terpaksa berdepan dengan PH.

Memberi contoh, sumber itu berkata, di sebuah kawasan Parlimen sewaktu PRU14, calon UMNO menang 16,000 undi manakala Pas dan Bersatu ma­sing-masing menang 11,000 undi setiap parti.

ANALISIS

“Di atas kertas, kalau buat analisis, jika dalam PRU15 Pas dan Bersatu bergabung, mereka akan dapat 22,000 undi, dan jika UMNO masih berjaya menang 16,000 undi sekalipun, kita akan tewas sebanyak 6,000 undi.

“Harus diingat bahawa itu baru bertembung dengan Pas dan Bersatu, belum ambil kira undi pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) lagi,” kata sumber di sini, semalam.

Menjelaskan lanjut, sumber berkata bahawa banyak kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lepas, dilihat ‘berbahaya’ jika bertembung secara langsung dengan gabu­ngan Pas-Bersatu serta PH.

Sementara itu, diminta mengulas soal persediaan gerak kerja UMNO di peringkat Parlimen bagi menghadapi kemungkinan PRU15 dalam tahun ini, sumber berkata hal itu memerlukan penjelasan bilik perang Parlimen masing-masing, dan tidak boleh bergantung kepada kenyataan ‘maharaja’ parti semata-mata.

“Dari segi gerak kerja, ini mengikut Parlimen. Tiada orang boleh bercakap bagi pihak seluruh Parlimen.

“(Kesiapsiagaan) di Parlimen, (itu) kena tanya Parlimen, kena tanya UMNO di peringkat Parlimen itu, mereka bersedia atau tidak, Jaringan Rakyat (JR) bersedia atau tidak,” kata sumber.

Katanya, UMNO perlu membentuk gabungan dengan salah satu parti Melayu-Islam bagi menghadapi PRU15 nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN