SEREMBAN: Seorang kerani tapak didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas dia mengaku salah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,740.
Ia bagi projek membina serta menyiapkan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, di sini lima tahun lalu.
Hakim, Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd. Nor Afendi Abd Wahab, 31, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku kerani tapak sebuah syarikat konsultan telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM240 dan RM1,500 daripada seorang pengarah projek sebuah syarikat pembinaan.
Ia sebagai balasan memberi kebenaran untuk memulakan kerja-kerja di tapak projek membina dan menyiapkan bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di USIM, Nilai di sini.
Kesalahan itu dilakukan pada 2 Jun 2017 dan 13 Jun 2018.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










