Exco Bersatu kekal bertugas di Kelantan

Exco Bersatu kekal bertugas di Kelantan

MOHAMED FADZLI HASSAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan kekal menjalankan tugas seperti biasa meskipun parti itu mengumumkan penamatan kerjasama dengan Pas berkuatkuasa semalam.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Fadhli Hassan berkata, setakat ini kedudukan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor sebagai Exco kerajaan negeri tidak berubah kerana perkara itu belum dibincangkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, keputusan yang diumumkan malam tadi hanya melibatkan urusan antara parti.

“Kedudukan dalam kerajaan belum dibincangkan lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Fadhli berkata, Timbalan Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Bahari Mohd. Nor juga boleh meneruskan tugas seperti biasa.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Kamarudin menyerahkan nasib beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri kepada Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud untuk membuat keputusan selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.

Kamarudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri berkata, buat masa ini beliau masih meneruskan tugas dalam kerajaan seperti biasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN