Fenomena optik aeroangkasa boleh dilihat jelas di ruang udara Sabah

Fenomena optik aeroangkasa boleh dilihat jelas di ruang udara Sabah

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan menerima laporan mengenai penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada malam Khamis lalu dan kini sedang menjalankan pemantauan serta siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Sabah yang berada di bawah laluan aktif pelancaran roket di rantau Asia Timur menjadikan ruang udara negeri itu antara kawasan berpotensi menyaksikan fenomena optik aeroangkasa secara lebih jelas.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Salahuddin Mohd. Harithuddin berkata, fenomena tersebut dipercayai berkait dengan aktiviti roket pada altitud tinggi dan bukannya berpunca daripada faktor cuaca.

Katanya, keadaan di ruang angkasa yang mempunyai tekanan udara sangat rendah menyebabkan pelepasan gas daripada roket menghasilkan kesan visual yang boleh dilihat dari bumi.

“Pada ketinggian melebihi 100 kilometer (km), tekanan udara adalah sangat rendah. Sebaik sahaja gas ekzos dilepaskan daripada muncung enjin roket, tiada ‘dinding’ udara yang menahannya. Gas yang dilepaskan terus mengembang dengan mendadak dan membentuk apa yang dipanggil sebagai rocket plume.

“Gas daripada roket ini sebahagian besarnya mengandungi wap air dan karbon dioksida. Disebabkan suhu di angkasa yang sangat sejuk, wap air tersebut akan membeku menjadi jutaan hablur ais yang kemudiannya menghasilkan kesan visual tertentu apabila terkena cahaya matahari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengesahkan menerima laporan mengenai penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada malam Khamis lalu dan kini sedang menjalankan pemantauan serta siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Kementerian itu memaklumkan, Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) telah menerima maklumat awal berhubung fenomena tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan objek angkasa.

Ahmad Salahuddin berkata, perbezaan antara meteor dan serpihan angkasa boleh dikenal pasti berdasarkan kelajuan pergerakan serta corak kemasukannya ke atmosfera bumi.

Katanya, pemerhatian terhadap ciri-ciri fizikal objek berkenaan dapat membantu mengenal pasti sama ada ia merupakan fenomena semula jadi atau berpunca daripada objek buatan manusia.

“Meteor bergerak pantas dan biasanya hanya kelihatan melintas di langit dalam tempoh sekitar satu hingga tiga saat sahaja sebelum terbakar habis. Biasanya ia akan nampak seperti satu jalur cahaya.

“Serpihan angkasa atau sampah angkasa yang jatuh ke atmosfera bergerak jauh lebih perlahan dan kita boleh melihatnya dalam tempoh yang lebih lama, mungkin sehingga beberapa minit. Apabila ia mula terbakar di atmosfera, objek ini akan berpecah secara perlahan-lahan menjadi puluhan serpihan kecil.

“Roket pada ketinggian 200 km boleh dilihat serentak dalam kawasan berdiameter lebih kurang 3,000 km. Sesiapa dalam lingkungan ini boleh nampak objek yang sama pada masa sama dengan mata kasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN