Warga emas rugi RM134,503 ditipu Macau Scam

Lagi warga emas ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas berusia 61 tahun di sini mengalami kerugian RM134,503 selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon oleh sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa yang merupakan pesara swasta membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu.

“Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki Cina yang memperkenalkan diri sebagai pegawai di pusat panggilan HSBC Bank.

“Lelaki itu kemudian memaklumkan kad kredit HSBC Bank Platinum Mastercard milik mangsa telah digunakan untuk pembelian wang digital (bitcoin) melalui tiga transaksi berjumlah RM15,991,” katanya.

Ujar Mohd. Radzi, mangsa bagaimanapun menafikan penggunaan kad kredit tersebut kerana tidak mempunyai akaun ‘bitcoin’ sebelum panggilan telefon mangsa disambungkan pula kepada seorang lelaki Cina lain yang kononnya pegawai Bank Negara Malaysia (BNM). 

“Pegawai ‘Bank Negara’ itu kemudian meminta mangsa memberikan maklumat perbankan (kata nama beserta kata laluan) kononnya untuk tujuan siasatan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila menerima mesej daripada pihak HSBC Bank kira-kira pukul 9 malam (hari yang sama) yang memaklumkan terdapat pengeluaran wang berjumlah RM134,503 daripada tiga akaun bank miliknya,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Mohd. Radzi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mengaku sebagai wakil agensi kerajaan atau swasta sebelum mendapat pengesahan.

“Pada masa sama, mereka juga diingatkan tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan termasuk nombor kad ATM (mesin pengeluaran wang automatik), nombor pin kad serta nombor TAC (kod pengesahan transaksi) kepada mana-mana individu.

“Kecuaian ini akan menyebabkan akaun bank mereka dimanipulasi untuk tujuan pengeluaran wang,” katanya yang memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN