Anis buru catatan masa lebih pantas

Anis buru catatan masa lebih pantas

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan wanita di Filipina. - IHSAN KONFEDERASI BASIKAL ASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Anis Amira Rosidi berazam melakar catatan masa terpantas dalam acara pecut berpasukan di Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai pada 24 hingga 26 April ini.

Anis akan bergandingan dengan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Farid iaitu trio sama ketika mereka meraih perak di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Tagaytay, Filipina pada bulan lalu.

Atlet kelahiran Kangar, Perlis itu mengakui kejayaan di ACC menjadi penanda aras di Piala Dunia di Nilai, namun realitinya kejohanan itu menuntut tahap konsistensi yang lebih tinggi kerana menampil pelumba terbaik dunia.

Anis menjelaskan persiapannya kini lebih terfokus kepada aspek teknikal dan keserasian pasukan bagi memastikan momentum yang dibina tidak terhenti begitu sahaja.

“Persiapan ke Piala Dunia kali ini memang lebih tertumpu kepada acara pecut berpasukan selepas kami meraih perak di ACC dan saya harap kami dapat tampil lebih baik,” katanya.

Trio negara itu turut memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 48.086 saat (s), sekali gus memberi gambaran bahawa peningkatan prestasi bukan sekadar kebetulan.

Menurut Anis, keserasian yang semakin terbentuk menjadi faktor utama perubahan positif selepas sebelum ini mereka berdepan kesukaran untuk menyelaraskan kayuhan.

“Pada awalnya memang sukar untuk menyesuaikan diri, tetapi selepas beberapa kali naik podium kami semakin memahami rentak masing-masing dan kini lebih stabil,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN