WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menyekat pelabuhan Iran selama mana yang diperlukan, kata Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth pada Khamis, sambil mengancam untuk melancarkan semula serangan jika Teheran tidak mencapai perjanjian.
Pasukan AS mula menyekat pelabuhan Iran pada pukul 1400 GMT pada Isnin atau pukul 10 malam waktu Malaysia selepas rundingan damai di Pakistan berakhir tanpa perjanjian sehari sebelumnya.
Pegawai tentera tertinggi AS, Jeneral Dan Caine berkata, sekatan itu terpakai kepada semua kapal, tanpa mengira kewarganegaraan yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran.
“Jika anda tidak mematuhi sekatan ini, kami akan menggunakan kekerasan,” kata Caine, yang bercakap bersama Hegseth di sidang akhbar di Pentagon atau Jabatan Pertahanan di Arlington, Virginia dekat Washington.
Jeneral itu juga berkata, pasukan Washington akan memburu kapal di kawasan lain yang cuba membawa bantuan ke Iran.
“Selain sekatan ini, pasukan gabungan, melalui operasi dan aktiviti di kawasan tanggungjawab lain akan secara aktif mengejar mana-mana kapal berbendera Iran atau mana-mana kapal yang cuba memberikan sokongan material kepada Iran,” kata Caine.
Hegseth turut berkata bahawa pasukan Iran sedang cuba mengeluarkan peralatan yang ditanam atau disembunyikan semasa lebih lima minggu serangan AS-Israel ke atas republik Islam itu.
Beliau berkata: “Kami tahu aset ketenteraan apa yang anda gerakkan dan ke mana anda mengalihkannya. Ketika anda menggali keluar yang memang anda lakukan, menggali keluar dari kemudahan yang dibom dan musnah, kami hanya semakin kuat.
“Anda sedang mengeluarkan pelancar dan peluru berpandu yang tinggal tanpa keupayaan untuk menggantikannya. Anda tidak mempunyai industri pertahanan, tiada keupayaan untuk menambah semula keupayaan serangan atau pertahanan anda.”
Ketua Markas Pusat AS, Laksamana Brad Cooper yang bertanggungjawab terhadap pasukan Amerika di Asia Barat berkata, Washington menggunakan tempoh gencatan senjata untuk melakukan penyesuaian semula.
“Kami sedang mempersenjatai semula, menstruktur semula dan menyesuaikan taktik, teknik serta prosedur kami. Tiada tentera di dunia yang menyesuaikan diri seperti kami, dan itulah yang sedang kami lakukan sekarang semasa gencatan senjata,” kata Cooper. – AFP/AGENSI










