LONDON: Manchester United tidak akan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok empat teratas susulan keputusan seri 1-1 menentang Leicester City dilaman Old Trafford, kelmarin.
Skuad bimbingan Ralf Rangnick, kini berada ditangga keenam mengumpul 51 mata hasil 14 kemenangan, sembilan seri dan tujuh kekalahan selepas 30 perlawanan, dengan dibezakan tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal, yang masih ada dua perlawanan dalam tangan.
Bekas pertahanan Red Devils, Gary Neville berkongsi tanggapan tersebut selepas United dilihat beraksi longlai dan tertekan ketika berdepan The Foxes dengan membenarkan lawan terlebih dahulu mengegarkan gawang menerusi Kelechi Iheanacho pada minit ke-63 sebelum Fred menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.
“Saya rasa begitu, itu sangat teruk di luar sana hari ini. Saya fikir ia (rehat antarabangsa) mungkin terkesan untuk Manchester United.
“Beri mereka sedikit rehat untuk kembali dan dapatkan peluang dalam sembilan perlawanan terakhir ini.
“Ini akan menjadi dua bulan yang panjang untuk pemain Manchester United,” kata Neville ditanya sama ada Red Devils ditakdirkan untuk menamatkan saingan di luar tempat Liga Juara-Juara.
Neville mendedahkan dia tidak lagi marah dengan persembahan United, tetapi semakin bosan dengan cara bekas kelabnya itu bermain.
Dia juga bimbang menjelang musim depan kerana dia mengakui terdapat beberapa pemain berprofil tinggi di kelab boleh meninggalkan musim panas ini. -AGENSI