Swiatek bergelar No.1 dunia, hari ini - Utusan Malaysia

Swiatek bergelar No.1 dunia, hari ini

Iga Swiatek -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek meneruskan musim impiannya pada tahun ini apabila merangkul kejuaraan WTA ketiga berturut-turut selepas menewaskan Naomi Osaka 6-4, 6-0 pada final Terbuka Miami semalam.

Pemain Poland berusia 20 tahun itu menjadi pemain keempat dan termuda memenangi Sunshine Double Indian Wells dan Miami pada tahun yang sama selepas Steffi Graf, Kim Cljisters dan Victoria Azarenka.

Swiatek, yang akan disahkan secara rasmi sebagai pemain No.1 dunia apabila ranking baharu WTA diumumkan pada hari ini.

Dia telah memenangi 17 perlawanan berturut-turut termasuk merangkul gelaran di Doha, Indian Wells dan kini Miami.

“Saya berasa bertuah untuk menjadi antara pemain yang pernah melakukan aksi berganda ini, saya tahu sukar untuk bermain kejohanan ini secara berturut-turut tetapi saya mengambil langkah demi langkah.

“Saya berada di zon selesa pada set kedua – itu cara paling mudah untuk saya menjadi dominan. Saya terkejut saya boleh mengendalikan semua perlawanan ini.

“Saya masih orang yang sama. Idola saya begitu dan saya tidak mahu kejayaan itu mengubah saya secara negatif. Ia memberi saya keyakinan,” kata Swiatek.

Swiatek, yang memenangi Grand Slam sulungnya di Terbuka Perancis pada 2020 ketika berumur 19 tahun sekali lagi akan menjadi pemain pilihan dalam perebutan mahkota Rolan Garros bulan depan.

Osaka, 24, kembali mempamerkan prestasi terbaiknya di Florida walaupun ia adalah final pertama juara Grand Slam empat kali itu sejak Terbuka Australia pada 2021 berakhir dengan kekalahan kepada Swiatek.

Bekas pemain No.1 dunia itu, meninggalkan Indian Wells bulan lalu dalam tangisan selepas diejek oleh peminat semasa kekalahan pusingan kedua.

Di Terbuka Miami, Osaka mara ke final dan kembali memberi harapan untuk kembali ke puncak prestasi selepas menamatkan musim 2021 dengan penuh cabaran termasuk berdepan masalah kesihatan mental.

“Iga (Swiatek) agak berbeza daripada pemain lain yang pernah saya lawan, dia bermain sangat baik tetapi saya tidak kecewa seperti sebelum ini selepas tewas.

“Ia adalah keputusan yang menyedihkan tetapi hari yang menyeronokkan. Biasanya saya akan menangis di dalam bilik persalinan tetapi saya rasa pengalaman telah membantu saya.

“Saya lebih rendah diri sekarang tentang peluang yang saya dapat. Saya boleh mengambil banyak perkara positif daripada ini.” kata Osaka.-AGENSI.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN