Perak makin menderita - Utusan Malaysia

Perak makin menderita

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah tetap memberi semangat kepada anak buahnya untuk terus berjuang meskipun berdepan pelbagai masalah dalam pasukan.- IHSAN Perak Football Club
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sudahlah hanya miliki pemain terhad, layangan kad merah terhadap Royizzat Daud pada perlawanan Sabtu lalu, akan menyukarkan lagi Perak FC bagi menghadapi dua perlawanan Liga Perdana selepas ini.

Tiada gaji, kekurangan pemain, situasi dihadapi skuad Bos Gaurus ketika ini ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

Royizzat dilayangkan kad merah oleh pengadil Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman selepas insiden kekasaran yang menyaksikan pemain Kelantan, Danial Hadri Effendi Jagan turut diperintah keluar pada minit ke-43.

“Sudahlah kami kekurangan pemain, hukuman terhadap Royizzat ini menyukarkan lagi pasukan,” luah pengendali Perak, Yusri Che Lah.

Dalam lima perlawanan setakat ini , Perak menyenaraikan 15 pemain dalam kesebelasan permulaannya kerana masalah kecederaan dan hanya boleh mendaftar seramai 20 pemain berikutan sekatan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Oleh itu, Yusri mengingatkan pemain Bos Gaurus supaya berhati-hati dan tidak mengutip kad merah sewenang-wenangnya.

Mengulas mengenai kekalahan 1-3 di tangan pasukan Kelantan, Yusri mengakui faktor pengalaman menjadi perbezaan antara anak buahnya dengan lawan.

“Pemain Perak punyai semangat tetapi ia tidak mencukupi untuk memenangi perlawanan. Apapun saya berbangga dengan persembahan mereka “katanya.

Sementara itu, Yusri mengakui sebak selepas diberi tepukan bergemuruh oleh penyokong ‘Ultras Perak’ di akhir perlawanan semalam.

Justeru, jurulatih itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kumpulan itu yang tidak henti-henti memberi sokongan sepanjang perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN