PONTIAN: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai keluar dari rumahnya sejak 4 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, remaja itu, Nur Suhaidah Abdullah beralamat di Lot 108B, Kampung Perpat, Serkat di sini.
Katanya, berikutan dengan kehilangan Nur Suhaidah, keluarganya membuat satu laporan polis di Balai Polis Permas pada 5 Mac setelah dia tidak pulang ke rumah serta gagal untuk dihubungi.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi individu tersebut boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Kamila Liana Md. Kamal di talian 013-7278497 atau hotline IPD Pontian di talian 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya di sini.
Sementara itu, bapa saudara kepada Nur Suhaidah, Amirul Asraf Samsuri, 28, mendakwa, pada petang hari kejadian, terdapat seorang lelaki yang menunggang motosikal datang ke rumahnya bertemu anak saudaranya itu.
Katanya, ketika itu bapanya, Samsuri Maidin, 65, keluar ke kedai dan lelaki tersebut dipercayai membawa keluar Nur Suhaidah tanpa memberitahu sesiapa termasuk ibunya, Norman Yani Md. Saman, 62, yang berada di dalam rumah.
“Keluarga saya memelihara Nur Suhaidah setelah dia kematian bapa, manakala emak kandungnya pula kini berada dalam tahanan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Amirul, anak saudaranya itu tidak pernah keluar seorang diri walaupun hanya untuk ke Pekan Serkat dan selalu memberitahu mereka ke mana dia hendak pergi.
“Saya telah menyemak semua aplikasi media sosial seperti WhatApps, Instagram dan Telegram yang semuanya tidak aktif selain panggilan telefon juga tidak dapat ditembusi sehingga hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai yang mengetahui lokasi atau mempunyai maklumat berkaitan anak saudaranya itu agar menghubunginya di talian 011-36049176 atau memaklumkan pihak polis dengan segera. – UTUSAN










