Semakin ramai masuk pasaran kerja - Utusan Malaysia

Semakin ramai masuk pasaran kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini seramai 420,898 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang berdaftar sedang fokus kepada peperiksaan bertulis yang dijadual berakhir 17 Disember ini.

Selepas tarikh itu dan sementara menunggu keputusan keluar yang dijangka pada Mac tahun depan, pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh lepasan SPM.

Yang mahu melanjutkan pengajian tinggi, mereka mungkin sudah jelas apa yang patut dibuat terutamanya mempersiapkan diri ke arah itu terutama dari segi permohonan ke universiti, persediaan mental dan kewangan serta memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang berkenaan.

Yang tidak mahu menyambung pengajian, sebaiknya mereka masuk ke pasaran kerja untuk mencari sumber pendapatan.

Satu perkara yang perlu difahami ialah tidak semua orang akan mendapat apa yang mereka mahu. Mahu kerja yang baik, bukan mudah dan kerana tempat ke universiti awam dan pelbagai lagi institusi latihan atau kemahiran yang terhad, hanya sebahagian dapat menyambung pengajian.

Mei lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan sebanyak 169,803 calon SPM 2025 ditawar tempat untuk belajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mereka merupakan antara 235,480 yang layak memohon 363 program pengajian yang ditawarkan untuk peringkat sijil, asasi, diploma dan sarjana muda.

Setiap tahun itulah lebih kurang jumlah lepasan SPM yang layak memohon atau ditawarkan tempat ke IPTA kerana jumlah yang menduduki SPM setiap tahun juga kira-kira 400,000 calon.

Separuh daripada mereka akan menyambung pengajian ke IPTA atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan bagaimana pula dengan kira-kira 200,000 lagi calon SPM yang tidak menyambung pengajian? Dengan umur 18 tahun sekurang-kurangnya, merekalah yang akan memasuki pasaran kerja.

Suka atau tidak, merekalah yang akan mengisi kekosongan jawatan di pasaran atau menggantikan golongan pekerja yang bersara wajib pada tahun berkenaan.

Ia adalah hakikat kehidupan dan pusingan yang akan dirasai oleh semua orang. Belajar untuk satu tempoh, kemudiannya bekerja atau berniaga dan memberi pekerjaan kepada orang lain.

Kalau bernasib baik, mereka akan mendapat kerja yang bagus dengan pendapatan yang menarik. Pengalaman dan kemahiran bekerja akan merubah nasib mereka. Inisiatif untuk berubah dengan mengikuti latihan atau meningkatkan keupayaan diri juga akan menentukan masa depan mereka.

Cuma peringkat awal mungkin mencabar untuk mendapat pekerjaan sesuai, terutama ketika universiti juga mengeluarkan graduan dalam pelbagai bidang. Kerana sukar mendapat kerja, sebahagian mereka juga bersaing dengan lepasan SPM untuk mendapat kerja yang tidak memerlukan kelulusan tinggi.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara kekal 2.9 peratus September lalu sama seperti bulan Ogos.

Ia melibatkan jumlah penganggur seramai 513,000 orang dan kita berharap ekonomi negara kekal kukuh supaya peluang pekerjaan terus bertambah. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia