Konspirasi asing mahu jatuhkan Imran  - Utusan Malaysia

Konspirasi asing mahu jatuhkan Imran 

PENYOKONG parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) tiba untuk menghadiri perhimpunan di Islamabad. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan mendakwa wujud `konspirasi asing’ di sebalik usul undi tidak percaya terhadap beliau dalam usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya.     

Lapor Al Jazeera, Imran berkata, pembiayaan sedang disalurkan dari luar negara ke Pakistan untuk tujuan berkenaan.

“Kami diancam secara bertulis namun kami tidak akan sesekali berkompromi dengan kepentingan negara,” katanya dalam audio yang dimuat naik di Twitter.

Beliau berkata demikian tanpa memberikan butiran lanjut atau bukti berhubung dakwaan itu.

Bulan lalu, pakatan parti pembangkang mengemukakan usul terhadap Imran selepas mendakwa pemimpin itu kehilangan majoriti susulan beberapa ahli parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berpaling tadah.

Pakatan parti pembangkang menuduh kerajaan pimpinan Imran mengamalkan rasuah dan mendakwa beliau melakukan salah urus ekonomi di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin memuncak. 

Terdahulu, puluhan ribu penyokong dari parti pemerintah dan pembangkang berhimpun di ibu negara Pakistan menjelang sesi undi tidak percaya yang mahu menggulingkan kerajaan pimpinan Imran.

Imran menggesa penyokong dari seluruh negara untuk berkumpul bagi menunjukkan kekuatan parti kerajaan menjelang undi tidak percaya yang dijangka berlaku pada minggu ini. 

“Ini adalah perjuangan untuk masa depan negara kita,” katanya dalam audio itu.

Penyokong dari parti PTI dilaporkan berkumpul di padang kawad berhampiran Persimpangan Faizabad.

Menurut pemimpin PTI, pihaknya menjangkakan lebih sejuta orang akan menghadiri perhimpunan itu. 

Dilaporkan, penyokong parti pembangkang turut berkumpul di Islamabad menjelang protes anti-Khan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya