JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor mengesahkan akan bergerak secara solo dan tidak mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, susulan itu pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN itu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum suara dan harapan kepimpinan akar umbi BN dan juga UMNO Johor.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.
“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu lagi, pihaknya berharap keputusan tersebut akan memberi impak positif kepada kesejahteraan dan kepimpinan negeri pada masa depan.
Pada PRN Johor 2022, BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH yang terdiri daripada DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional pula memenangi tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala Pas, satu. Sementara itu Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga menang satu kerusi.










