IPOH: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0 yang akan dilancarkan bulan hadapan memberi penekanan kepada bidang berteknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penstrukturan kurikulum melalui TVET 2.0 itu melibatkan penambahbaikan kandungan kurikulum baharu, bagi memastikan ia selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan masa depan.
Katanya, langkah tersebut dibuat susulan kejayaan pelaksanaan program itu sebelum ini.
“Di samping mengekalkan kursus-kursus tradisional yang ada, kita akan memperkasa bidang baharu iaitu robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui serta bidang lain yang sangat diperlukan oleh pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah AIM TVET Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, penstrukturan itu turut membuka peluang lebih luas kepada pekerja gig termasuk penghantar makanan, penghantar barangan, pekerja industri perfileman serta sektor seni dan kebudayaan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.
Malah katanya, sektor animasi turut diberi perhatian khusus memandangkan permintaan tinggi daripada syarikat antarabangsa yang kini banyak menawarkan kerja subkontrak kepada syarikat tempatan.
“Bagaimanapun, terdapat kekurangan dari segi animasi dan kita harap dengan TVET 2.0 ini lebih ramai lagi akan menceburi bidang ini, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara dan penggubalan Akta TVET bagi memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran negara.
Katanya, Majlis TVET sedia ada berpotensi dinaik taraf kepada Suruhanjaya TVET Negara sekiranya mendapat kelulusan Kabinet seterusnya memperluaskan bidang kuasanya.
“Kita sedang mengadakan sesi libat urus di kalangan 12 kementerian yang dikoordinasikan di bawah Majlis TVET Negara dan kita juga akan pergi ke negeri-negeri untuk mendapat maklum balas.
“Sesi libat urus ini penting untuk mendapatkan maklum balas bagi mencari kaedah bagaimana akta dan suruhanjaya ini akan dapat memacu pembangunan TVET bukan hanya untuk tahun 2030 tetapi melepasi tahun 2050,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas laluan pelajar tahfiz ke universiti awam, beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai huffaz profesional dalam pelbagai bidang. – UTUSAN









