Amanah Ikhtiar: Anwar gembira ideanya 40 tahun lalu berjaya bantu orang miskin - Utusan Malaysia

Amanah Ikhtiar: Anwar gembira ideanya 40 tahun lalu berjaya bantu orang miskin

ANWAR Ibrahim (tengah) berbual dengan peniaga yang menyertai majlis peluncuran Skim Paduri Madani AIM di Ipoh, Perak hari ini.-FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim gembira perjuangannya menubuhkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) lebih tiga dekad lalu berjaya membantu golongan miskin mendapatkan modal perniagaan.

Perdana Menteri berpuas hati melihatkan AIM yang diwujudkan pada tahun 1987, telah mengeluarkan pembiayaan hampir RM40 bilion dan memberi manfaat kepada jutaan isi rumah sehingga kini.

Beliau yang ketika itu merupakan Menteri Pendidikan, telah meminta Universiti Sains Malaysia (USM) menilai idea bank mikrokredit Bangladesh Grameen Bank untuk diperkenalkan di Malaysia.

“Apabila sudah menjadi Menteri Kewangan (1991), saya minta kerajaan untuk mengelakkan AIM diletakkan di bawah kementerian-kementerian tertentu.

“Kerana hendak kawal susah dan mungkin digunakan untuk kepentingan tertentu atau politik peribadi. Jadi saya pindahkan ke badan yang lebih bebas di bawah Kementerian Kewangan. Saya terpaksa bertegang dengan banyak kementerian pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis peluncuran Skim Paduri Madani AIM di sini hari ini.

Katanya, penubuhan AIM pada waktu itu penting memandangkan kurangnya sumber bantuan modal kepada golongan miskin tegar walaupun sudah berpuluh bilion ringgit dibelanjakan selepas Kemerdekaan.

Jelasnya, pengalamannya dipenjarakan selama dua tahun di Kem Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling, Kedah telah mengajar dirinya mengkaji pelbagai usaha membantu orang miskin.

Anwar gembira apabila kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) AIM direkodkan sifar, meskipun golongan peminjam merupakan golongan berpendapatan rendah.

Beliau mahu pencapaian AIM itu diketengahkan termasuk cerita kejayaan didedahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Perdana Menteri mahu segala peruntukan yang diberikan kepada AIM dan semua agensi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran, bukannya habis untuk kegunaan pengurusan semata-mata.

“Kalau hendak bantu orang miskin, katakan peruntukan RM100 juta, RM60 juta untuk perbelanjaan pejabat dan pengurusan, sampai (kepada golongan sasaran) hanya RM40 juta. Kita kena cari kaedah baharu supaya sekurang-kurangnya RM80 juta pergi kepada rakyat miskin,” katanya.

Skim Paduri Madani AIM memperuntukkan dana berjumlah RM230 juta bagi melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN