Utamakan kes ini, sudah saksi akhir - Utusan Malaysia

Utamakan kes ini, sudah saksi akhir

ROSMAH  Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur  hari ini bagi sambung bicara kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya tahu kamu semua peguam yang sibuk tetapi kes ini perlu diberi keutamaan. Ini kes jenayah dan ini adalah saksi terakhir.”

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan terpaksa bertegas sedemikian pada perbicaran kes bekas Wanita Pertama Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas tuduhan rasuah selepas pihak pembelaan memohon prosiding hari ini ditangguhkan.

Peguam bela, Azrul Zulkifli Stork memohon penangguhan tersebut kerana saksi kedua yang juga saksi terakhir mereka, bekas Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod masih berada dalam kuarantin wajib sehingga esok (5 Februari) selepas pulang dari umrah.

“Ini mengubah segalanya. Hari ini sepatutnya hari terakhir,” kata hakim itu.

Terdahulu Azrul memberitahu, Siti Azizah sepatutnya pulang ke ibu negara pada 28 Januari lalu dan akan tamat menjalani kuarantin wajib pada 3 Februari.

“Tetapi penerbangannya telah ditunda kepada 29 Januari dan kuarantin wajibnya habis pada 5 Februari (esok),” kata Azrul.

Hakim Mohamed Zaini selepas menerima penjelasan yang diberikan pihak pembelaan menetapkan 15 Februari ini untuk sambung bicara peringkat bela diri kes rasuah Rosmah itu.

“Ia perlu ditamatkan pada hari itu,” kata hakim tersebut.

Rosmah kini dibicarakan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Rizal, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya