JPWPKL ambil tindakan tegas kepada pembuli 

JPWPKL ambil tindakan tegas kepada pembuli 

JABATAN PENDIDIKAN WILAYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden buli di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

Langkah itu menyusul selepas tular perkongsian pelakon, Ako Mustapha, yang mendakwa anaknya menjadi mangsa dipijak dan dipukul oleh rakan sekolah.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berkata, setakat ini pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat sudah mengambil langkah termasuk menghubungi ibu bapa dan penjaga murid terbabit, menjalankan siasatan dalaman menyeluruh serta melaporkan kes kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, semua murid yang terbabit dalam kes itu sudah dirujuk untuk menjalani sesi bimbingan dan kaunseling.

“JPWPKL memandang serius dan kesal terhadap kejadian salah laku buli membabitkan murid di sebuah sekolah sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

“JPWPKL menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap semua pihak yang terbabit selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Kami juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama ibu bapa yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pelakon, Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anaknya, Mika, menjadi mangsa buli dalam kejadian yang dipercayai berlaku semalam.

Menerusi satu perkongsian di aplikasi Threads, beliau berkata kejadian itu hanya disedari selepas anaknya yang berusia 10 tahun pulang dari sekolah dan menunjukkan kesan lebam pada tubuh.

Menurutnya, mangsa mendakwa dipukul sehingga mengalami kecederaan termasuk kesan tapak kasut serta tumbukan pada beberapa bahagian badan.

Dalam perkembangan berkaitan, JPWPKL turut memaklumkan sudah merangka pelan intervensi bagi menangani kes buli secara menyeluruh dan berfokus.

“Masyarakat turut diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang kandungan di media sosial yang boleh mendedahkan identiti murid, khususnya yang membabitkan kanak-kanak bawah umur, demi menjaga kebajikan dan hak mereka.

“JPWPKL amat komited dalam menangani gejala buli secara menyeluruh bagi memastikan semua institusi pendidikan kekal selamat, kondusif dan sejahtera untuk murid, guru serta seluruh warga sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN