Op Celio: 14 lokasi digempur SPRM, 133 akaun RM160 juta disita

Op Celio: 14 lokasi digempur SPRM, 133 akaun RM160 juta disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menggeledah syarikat dan kediaman  di 14 buah lokasi selain pembekuan 133 akaun persendirian serta syarikat membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM160 juta melalui Op Celio.

Operasi ini menyasarkan syarikat dan individu meliputi pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang terbabit pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import di beberapa negeri menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sindiket turut dipercayai memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram itu, selain terbabit dalam pengubahan wang haram yang membabitkan nilai jutaan ringgit.

Katanya, satu operasi bersepadu antara SPRM dan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Operasi tersebut menyasarkan 28 entiti yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak Kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zamri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Op Celio akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan lagi 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan juga ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, seorang pemilik syarikat juga telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket isytihar palsu barang import JKDM di Pelabuhan Klang.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan BOK SPRM sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 dengan menjadi ‘runner’ bagi individu, syarikat dan juga ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.

“Suspek yang juga dipercayai salah seorang ahli sindiket terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kontraban daripada pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN