Formula Satu kembali gegarkan Sepang

Formula Satu kembali gegarkan Sepang

ANWAR Ibrahim menerima panggilan telefon bersama Putera Salman bin Hamad Al Khalifa dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.-FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sah menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) bagi pihak Grand Prix Bahrain pada Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Kerajaan Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa dan kerajaan serta rakyat Bahrain atas kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia.

Katanya, peluang itu dapat mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra Malaysia, di samping terus memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara menerusi penganjuran istimewa ini.

“Kerjasama ini bukan sekadar menganjurkan acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain.

“Pada masa sama, ia mengesahkan kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa berprestij.

Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, pasukan-pasukan bertanding serta peminat dari seluruh dunia ke Litar Antarabangsa Sepang,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar menerima panggilan telefon bersama Putera Salman bin Hamad Al Khalifa dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.

Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi susulan perang di Iran.

Litar Antarabangsa Sepang, yang kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017, tampil untuk menjadi hos perlumbaan pada hujung minggu berkenaan.

Sepang pernah menjadi antara venue perlumbaan yang popular sebelum digugurkan daripada kalendar F1 selepas edisi 2017.

Perang di Iran turut memaksa F1 menilai semula baki jadual musim ini kerana kalendar 2026 pada asalnya mengandungi 24 perlumbaan, dengan empat daripadanya berlangsung di Asia Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN