fbpx

Tiada kes remaja meninggal dunia akibat dos penggalak di Sabah

ROSE NANI MUDIN

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan tular dalam media sosial mengenai seorang remaja meninggal dunia akibat mengambil dos penggalak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, siasatan yang dibuat mendapati remaja yang meninggal dunia pada 12 Februari itu tidak pernah mengambil dos penggalak dan punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru serta penyakit jantung sejak lahir.

“Pesakit bukan meninggal dunia disebabkan dos penggalak Covid-19 seperti yang ditularkan. Ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.

“Siasatan juga mendapati bahawa pesakit telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai tahun lalu manakala, dos kedua pada 21 Ogos tahun yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik.

Justeru, satu laporan polis dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari yang menafikan kematian anaknya adalah disebabkan oleh dos penggalak vaksin Covid-19 dan beliau turut menafikan ahli keluarga mereka menularkan mengenai kematian anaknya disebabkan dos penggalak menerusi aplikasi Whatsapp.

Pada masa sama, pihak Hospital Tuaran turut membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi Whatsapps oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.

Rose Nani turut menggesa rakyat Sabah agar tidak menularkan berita palsu dalam mana-mana media sosial atau aplikasi yang boleh mengelirukan orang ramai serta mengancam privasi pesakit dan ahli keluarga pesakit.

Jelas beliau, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab sebegitu.

“Pihak jabatan  bersimpati dengan keluarga pesakit dan berharap perkara seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Dalam dua rakaman suara yang berdurasi 1.07 minit dan 2.29 minit yang tular dalam aplikasi Whatsapp mendakwa pelajar Tingkatan 2 dipaksa mengambil dos penggalak tanpa kebenaran ibu bapanya sehingga mengakibatkan pelajar berkenaan meninggal dunia.

Pelajar itu didakwa sedang menerima rawatan di hospital akibat penyakit dialami dan sebelum dibenarkan pulang ke rumah pihak hospital memaksanya mengambil dos penggalak. –UTUSAN 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!