Petani rosel kembali bertatih selepas Covid-19, bah - Utusan Malaysia

Petani rosel kembali bertatih selepas Covid-19, bah

SITI Suraya Sharif (tengah) dan Farhana Nasrun (kanan) mengikat pokok rosel yang condong dilanda banjir besar baru-baru ini dekat kebunnya di Kampung Johan Setia di Klang, Selangor. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Banjir besar yang melanda negeri ini tidak mematahkan semangat seorang petani untuk terus mengusahakan pertanian berasaskan pokok rosel walaupun terpaksa bermula dari awal sekali lagi selepas kawasan tanamannya di Kampung Johan Setia dilanda bah pada Disember lalu.

Malah, Siti Suraya Sharif, 38, mengibaratkan banjir luar biasa yang melanda itu sebagai dugaan demi dugaan selepas cuba kembali bertatih untuk bangkit daripada kesan sekatan ekonomi akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Usahawan tani itu memberitahu, akibat banjir tempoh hari, dia mengalami kerugian hampir RM80,000 melibatkan isi rumah, peralatan memproses produk dan bahan-bahan pembangunan bangunan kilang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“RM50,000 kerugian melibatkan kerosakan perabot, barang elektrik termasuk sebuah kereta. Alat memasak produk rosel dan nanas untuk diproses menjadi jus dan pati rosak kesemuanya bernilai RM20,000.

“Bahan-bahan seperti simen untuk pembinaan bangunan kilang sederhana luas bernilai RM10,000 rosak selepas tiga hari ditenggelami air,” katanya ketika ditemui di Kampung Johan Setia dekat sini semalam.

Utusan Malaysia pada 19 Disember lalu melaporkan, kawasan Kampung Johan Setia dan beberapa kawasan di negeri ini ditenggelami banjir melebihi dua hari hingga menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa manusia.

Banjir buruk tersebut difahamkan akibat taburan hujan yang tinggi disertai fenomena air pasang.

Siti Suraya berkata, dugaan itu tidak mematahkan semangatnya, malah terus berjuang dengan memulakan kembali pengeluaran produk rosel dalam skala kecil buat sementara waktu walaupun dibantu peralatan baharu yang terhad.

Sementara itu menurut rakan kongsinya, Farhana Nasrun, 35, dia berharap pihak berkuasa membenarkan pengeluaran caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu usahawan sepertinya bangkit semula meneruskan pengeluaran produk rosel jenama Sorellicious.

“Kita faham ramai terkesan akibat banjir baru-baru ini. Kami pengusaha jus rosel hilang segalanya hingga memerlukan kami bermula daripada sifar.

“Harap pihak berkuasa memudahkan syarat bantuan untuk usahawan kembali bangkit dan kurangkan syarat-syarat yang merumitkan kami yang sedang berusaha untuk bangkit semula,”katanya.

Tinjauan di ladang rosel milik kedua usahawan wanita yang pernah menjadi Ikon Agro Selangor 2020 mendapati tanaman rosel berada dalam keadaan bantut akibat terendam lama dalam air banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini