PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM200 bilion tahun ini bagi menampung semula jumlah hutang negara yang kini melebihi 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM957.3 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, tahun lalu Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM177.8 bilion.
Menurut beliau, jumlah itu wajar ditambah demi memulihkan prospek ekonomi agar kembali stabil setelah menghadapi kesan pandemik Covid-19 selama dua tahun.
Katanya, unjuran itu mampu dicapai sekiranya kerajaan meningkatkan keyakinan para pelabur untuk datang ke negara ini bagi menceburi potensi perniagaan di samping mengekalkan jumlah sedia ada.
“Integriti dan kestabilan negara menjadi penentu jumlah pelaburan apabila kedua-dua faktor ini mampu meningkatkan keyakinan untuk melabur ke negara ini. Keyakinan mereka mula luntur dan mula mengintai peluang di negara lain.
“Apatah lagi kedudukan hutang negara hampir RM1 trilion atau 62.8 peratus daripada KDNK menunjukkan lebih 50 peratus KDNK dan menunjukkan hutang semakin bertambah dan membebankan kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan hingga akhir Julai lalu adalah sebanyak RM957.3 bilion atau 62.8 peratus daripada KDNK.
Bagi Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, KDNK tahun ini dijangka mampu dicapai sekitar 5.5 peratus sekali gus dapat membantu memulihkan ekonomi Malaysia agar kembali stabil dan pulih setelah menghadapi kesan pandemik Covid-19 selama dua tahun.
Beliau menjelaskan, unjuran itu disokong oleh faktor pemulihan ekonomi global dan dasar fizikal yang mengembang, akhirnya mampu meningkatkan pendapatan negara.
Katanya, sekiranya unjuran itu dapat dicapai secara langsung memperlihatkan ekonomi tanah air bertambah baik dan hampir berjaya keluar kemelut ekonomi akibat kesan pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan penuh pergerakan sepanjang tahun lalu.
“Sekali pun unjuran KDNK antara 4.5 hingga 5 peratus, namun masih berada pada tahap memberangsangkan untuk pertumbuhan ekonomi tahun ini. Hal ini kerana tempoh sembilan bulan pertama 2021, KDNK meningkat tiga peratus namun ekonomi negara masih stabil.
“Kalau dicapai lebih daripada itu, adalah lebih bagus.
“Lagi tinggi KDNK dicapai, maka lagi banyak kutip dapat dijana kerajaan dan akhirnya rakyat mendapat manfaat sama ada disalurkan menerusi insentif dan subsidi,” katanya.
Seorang lagi penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan perlu membuat pelaburan besar dalam sektor teknologi Industri 4.0 (IR4.0) untuk memesatkan pemulihan dan pertumbuhan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri mikro.
Katanya, pihak berkaitan wajar memberi kemudahan sewa beli bagi membolehkan teknologi baharu diperkenalkan kepada IKS dan perniagaan mikro dalam memberi potensi prospek perniagaan lebih besar terhadap kedua-dua sektor di samping mewujudkan kesan limpahan kepada kenaikan pendapatan pekerja.
“Mungkin RM5 bilion boleh diperuntukan untuk membangun syarikat leasing seperti pembangunan leasing dan peruntukan boleh ditambah jika permintaan untuk teknologi baharu ini meningkat
“Malah kerajaan perlu membuat perbelanjaan khusus untuk memulih ekonomi dan perlu meningkatkan inisiatif pelaburan dalam teknologi IR4.0 untuk memesatkan pemulihan dan pertumbuhan perniagaan IKS dan perniagaan mikro,” katanya.










