PETALING JAYA: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan selepas kereta dipandunya melanggar empat kenderaan di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan di sini, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.50 petang membabitkan kereta BMW dipandu suspek dengan kereta Perodua Myvi, Mazda 8, Honda Jazz dan motosikal Yamaha LC135
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintende Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun memandu BMW berkenaan secara laju dan melulu sebelum melanggar Perodua Myvi, Mazda 8 dan Honda Jazz dari arah belakang.
Menurutnya, BMW berkenaan turut melanggar motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang penghantar makanan dari arah belakang.
“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu terjatuh di atas jalan.
“Akibat itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan pada tangan kanan serta badan dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azman, sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan Baru, Cheras menahan suspek pada pukul 7.10 malam.
Ujarnya, hasil ujian saringan awal air kencing serta alkohol terhadap suspek didapati negatif dan dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai kad rawatan mental dari PPUM.
“Selain itu, suspek juga didapati tiada lesen dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan iaitu rakannya yang meminjamkankan kereta berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- UTUSAN










