PETALING JAYA : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima menghadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Menurut Najib, pertemuan beliau bersama Tunku Ismail menyentuh mengenai pembangunan secara menyeluruh yang amat diperlukan bagi Johor dan Malaysia.
Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, perbincangan juga mengenai sistem kebajikan rakyat yang lebih efektif bagi membantu mengurangkan beban kehidupan rakyat.
“Johor mempunyai potensi besar dan boleh dikatakan pemangkin dan gerbang (gateway) kepada kemajuan ekonomi negara.
“Pelaburan, pekerjaan dan pembangunan wajar menjadi tiga fokus utama,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Najib menjunjung kasih kepada Tunku Ismail dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam di atas perkenan menerima beliau menghadap semalam.
“Semoga Allah SWT melimpahkan kurnia, rahmat dan kesejahteraan buat Johor dan Malaysia, dan terus memberkati institusi diraja,” katanya. –UTUSAN










