'Indra layan saya seperti anaknya' - Utusan Malaysia

‘Indra layan saya seperti anaknya’

INDRA Widjaja melayan Lee Zii Jia sama seperti anaknya dan dia juga individu yang membentuk pemain perseorangan utama negara ketika remaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Jurulatih Indra Widjaja layan saya seperti anak dan dia juga yang bentuk saya sebagai pemain ketika remaja.”

Itulah reaksi pertama pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia ketika diminta mengulas mengenai keputusannya melantik jurulatih kelahiran Indonesia itu sebagai pembimbingnya selepas bergelar pemain profesional.

Zii Jia berkata, jurulatih itu merupakan individu penting disebalik pencapaiannya hari ini dan ketika dia bergelut dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Indra banyak membantunya memberikan bimbingan serta nasihat.

Indra kini masih memiliki kontrak bersama BAM yang bakal berakhir pada 31 Mac ini dan selepas itu, baharulah pengendali perseorangan wanita negara itu menyertai Zii Jia.

Menurut jaguh No. 7 dunia itu, selepas melantik Indra selaku jurulatih peribadinya, dia juga berharap dapat membawa masuk pakar fisio dan jurulatih kecergasan ke dalam pasukannya itu nanti.

Mengulas pula tentang penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia, pemain berusia 24 tahun itu memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka urusan pendaftaran dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dapat diselesaikan lebih awal.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ti Lian Ker (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) yang membantu saya mempercepatkan proses pendaftaran kelab saya ini,” ujarnya.

Ditanya tentang perancangan selepas menubuhkan kelabnya itu, Zii Jia berkata, dia bertindak demikian kerana ia merupakan satu keperluan bagi membolehkannya melantik Indra selaku jurulatih.

“Saya tidak pula merancang untuk membawa masuk mana-mana pemain muda menyertai kelab saya, ia ditubuhkan kerana Indra,” jelasnya.

Ketika ditanya pula tentang kemenangannya ke atas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, hari ini, jelas Zii Jia, dia telah melalui pelbagai cabaran sejak kebelakangan ini dan meraih kemenangan itu sudah cukup membuatnya gembira.

“Saya juga sedar peminat memang menantikan perlawanan hari ini. Saya harap selepas keluar BAM, akan ada peluang lebih besar untuk saya.

“Saya sekarang mahu lebih fokus dan bermain dengan lebih tenang dan tidak mahu ulangi macam tahun lalu, saya bawa emosi dalam gelanggang.

“Sasaran saya tahun ini untuk seimbangkan emosi saya, mungkin perlawanan ini salah satu cara saya untuk cari keseimbangan itu,” katanya.

Zii Jia yang menjadikan Sukan Olimpik sebagai sasaran utamanya, turut bersedia diturunkan jika jurulatih memerlukan dia berbuat demikian dalam perlawanan menentang Kazakhstan, esok.

Dalam aksi berpasukan lelaki Kumpulan B pada kejohanan yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi, Zii Jia menewaskan Kean Yew yang menghuni ranking No. 12 dunia 21-6, 21-14. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya