Dua sekawan mati lemas ketika mandi air terjun - Utusan Malaysia

Dua sekawan mati lemas ketika mandi air terjun

DUA sekawan yang ditemukan lemas ketika mandi di air terjun Batu Berangkai dekat Kampar hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kegembiraan empat sekawan mandi air terjun Batu Berangkai dekat sini hari ini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan mati lemas.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mayat Muhammad Amirul Hafidz Ma’asor, 20, ditemukan hampir sejam selepas mayat rakannya, Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, dibawa naik oleh orang awam.

Difahamkan, kedua-dua mangsa datang ke lokasi berkenaan bersama dua rakan mereka dari Sabak Bernam untuk mandi sebelum seorang daripada mereka dilihat terkapai-kapai di tengah lubuk.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian berlaku apabila seorang daripada mangsa dilihat lemas sebelum cuba dibantu rakannya.

Katanya, keadaan panik menyebabkan kedua-dua mangsa tersebut gagal menyelamatkan diri.

“Dua lagi rakan mereka yang berada di tempat kejadian cuba membantu tetapi gagal dan hanya mampu menarik mangsa pertama keluar dari air tetapi dia bagaimanapun tidak sedarkan diri. Mangsa kedua telah tenggelam di dalam air dengan dua rakan lain segera meminta pertolongan orang awam dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak bomba yang sampai di tempat kejadian berjaya mencari mangsa kedua dan mengeluarkannya dari air pada pukul 11.15 pagi, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Kampar untuk bedah siasat.

“Siasatan mendapati, semasa kejadian hanya empat sekawan itu sahaja yang berada di kawasan perkelahan tersebut. Kesemua mereka yang berasal dari Selangor itu datang ke Kampar untuk mandi dengan menaiki motosikal. Barang-barang milik mangsa berada di tepi sungai dalam keadaan baik dan kedua-dua mangsa tidak tahu berenang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Mohd. Hisyam Zakariah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 10.34 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati Muhammad Fikri Adam telah berjaya dibawa naik ke tebing oleh orang awam. Operasi segera dijalankan sebelum menjumpai Muhammad Amirul Hafidz pada kedalaman tiga meter di tengah lubuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×