Belum tentu Undi18 di Sarawak sokong parti pembangkang - Utusan Malaysia

Belum tentu Undi18 di Sarawak sokong parti pembangkang

PETER MINOS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tidak semua pengundi18 di Sarawak akan mengundi parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) seperti yang didakwa pemimpin parti-parti pembangkang, kata penganalisis politik veteran Datuk Peter Minos.

Menurut beliau, agak sukar untuk mengetahui kecenderungan pengundi-pengundi yang berusia 18 hingga 23 tahun yang akan dibenarkan mengundi pada PRU 15 nanti.

“Saya menjangka sebahagian mereka akan mengundi calon-calon GPS (Gabungan Parti Sarawak), bermakna tidak semuanya akan mengundi pengundi parti pembangkang seperti yang didakwa pemimpin parti-parti pembangkang di Sarawak,” kata Minos kepada Utusan Malaysia.

Bekas pemimpin veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu bagaimanapun yakin GPS akan menang besar pada PRU 15 kerana pengundi-pengundi di Sarawak, sama ada muda mahupun tua mahukan gabungan berkenaan memerintah negeri tersebut.

Pengundi juga katanya, mahu supaya rakyat negeri itu mempunyai wakil yang ramai di Parlimen untuk menyuarakan aspirasi dan menjaga kepentingan dan hak Sarawak dan rakyat Sarawak.

“Sentimennya ialah rakyat Sarawak tidak mahu parti-parti dari Semenanjung sebagai wakil mereka di Parlimen,” tambah Minos.

Menurut Minos lagi, sentimen berkenaan terpancar terang dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember tahun lepas apabila PKR dan PAS gagal untuk memenangi sebarang kerusi.

DAP pula sekadar mampu mempertahankan dua kerusi, berbanding 10 yang dimenanginya pada PRN sebelumnya.

Dalam PRN Sarawak Disember lalu GPS menang besar 76 kerusi, manakala DAP sekadar meraih dua kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi.

“Semasa PRN Sarawak Disember lalu pengundi-pengundi Sarawak telah membuat keputusan dengan memilih parti gabungan di Sarawak, iaitu GPS untuk mentadbir Sarawak dan menolak parti-parti dari Semenanjung.

“DAP bernasib baik boleh menang dua kerusi. Begitulah kecenderungan di Sarawak dan akan diteruskan pada PRU 15 nanti kerana rakyat negeri ini mahu bebas daripada amalan politik di Semenanjung.

“Ia bukan bermakna rakyat Sarawak anti-Semenanjung mereka mahu memiliki suara yang lebih besar dalam pentadbiran dan politik,” kata Minos.

Beliau seterusnya berkata, GPS pasti cukup bersedia menghadapi PRU 15 yang beliau jangka akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan sebelum akhir tahun ini.

Minos juga percaya GPS akan berhadapan PRU-15 bersendirian tanpa gabungan dengan mana-mana parti dari Semenanjung walaupun dengan parti yang ia bershabat dengan.

Ini kerana, kata beliau pemimpin-pemimpin GPS telah berulang kali menyatakan pendirian mereka yang tidak mahu mana-mana parti dari Semenanjung menyertai pilihan raya di Sarawak.

“Tindakan GPS ini mungkin dilihat sebagai tindakan kurang mesra , tetapi ia sebagai mengikut keadaan politik di Sarawak dan juga kemahuan rakyat Sarawak kerana ia boleh memakan diri jika gabungan parti itu tidak menghormati sentimen rakyat,” katanya.

Dalam ada itu, Minos juga berpandangan GPS sewajarnya memberi peluang kepada calon-calon lebih muda, berwibawa dan mempunyai peluang untuk menang untuk bertanding dalam PRU-15 nanti seperti yang telah dilakukannya semasa PRN tahun lepas.

Katanya, ini akan memberi suara dan peluang kepada mereka untuk terbabit dalam hal ehwal awam dan sebagai pemimpin pelapis negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata GPS dalam masa yang sama tidak boleh sewenang-wenangnya memperjudikan calon muda yang tidak mempunyai peluang untuk menang.

Mengenai nasib dua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Datuk Ali Biju (Saratok), beliau percaya GPS tidak akan membenarkan kedua-duanya bertanding sebagai calon parti itu pada PRU-15 nanti.

“Perkara itu dinyatakan dengan jelas oleh pemimpin-pemimpin GPS sebelum ini kerana jika Bersatu boleh meletakkan calonnya bertanding di Sarawak, maka Umno dan parti-parti lain juga akan berbuat demikian.

“Sama ada Willie dan Ali akan diterima sebagai calon GPS, Minos berkata terpulang kepada pucuk pimpinan GPS untuk membuat keputusan,” kata.Minos.

Pada PRN Sarawak lalu, Willie (Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Ali (Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli) bertindak membantu dalam kempen calon GPS di kawasan masing-masing.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya