Akta 852: KKM periksa lebih 680,000 premis di seluruh negara

Akta 852: KKM periksa lebih 680,000 premis di seluruh negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan berkaitan pematuhan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah dijalankan di seluruh negara setakat 30 April lalu, melibatkan pemeriksaan ke atas 683,704 premis.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, hasil penguatkuasaan tersebut, sebanyak 233,831 kompaun telah dikeluarkan bagi kesalahan yang boleh dikompaun manakala 4,226 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun.

Katanya, sebanyak 398 kes masih dalam tindakan pendakwaan di mahkamah, manakala 204 kes telah selesai dengan hukuman denda keseluruhan berjumlah RM1.19 juta.

“KKM tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran Akta 852 dan sentiasa memantau kesalahan berkaitan pengiklanan serta promosi produk tembakau secara dalam talian, termasuk penjualan vape.

“Sehingga 30 April, sebanyak 2,595 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 7, 8, 9 dan 10 akta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akta 852 mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 sebelum pelaksanaan penuhnya bermula setahun kemudian.

Menurut KKM, pihaknya komited menguatkuasakan Akta 852 menerusi pelaksanaan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang memberi tumpuan kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok.

Katanya, operasi tersebut bertujuan melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok termasuk rokok elektronik yang semakin berleluasa.

Mengulas aduan berkaitan aktiviti pengiklanan dan penjualan produk vape secara dalam talian yang disyaki melanggar Akta 852, KKM memaklumkan semakan telah dijalankan terhadap 10 platform laman sesawang yang diadukan.

Katanya, permohonan tindakan di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Ia bertujuan menyekat empat laman sesawang berkenaan, manakala enam lagi laman sesawang masih dalam tindakan susulan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kesalahan merokok boleh menyalurkannya secara rasmi melalui talian WhatsApp Aduan Merokok di 010-8608949,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN