Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sesat sejak 2006 - Exco Agama Sabah

Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sesat sejak 2006 – Exco Agama Sabah

MOHD. ARIFIN MOHD. ARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ajaran Ahmadiyah Qadiani yang dikaitkan dengan penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak tahun 2006 sebelum diwartakan pada tahun berikutnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya memandang serius sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di negeri ini pada 2019.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan telah dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) susulan aduan awam berhubung Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan oleh Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM).

“Untuk makluman, ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada tahun 2006 serta diwartakan pada tahun 2007.

“Justeru, umat Islam di negeri ini hendaklah sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS telah melaksanakan operasi semalam di sebuah dewan sekolah menengah di Kota Kinabalu yang menjadi lokasi program berkenaan.

Katanya, seramai 52 Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS terlibat dalam operasi itu dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi memastikan aspek keselamatan terkawal.

“Hasil operasi mendapati program tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei dan dianggarkan dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah.

“Pelbagai bahan penerbitan, dokumen serta bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani turut dipamerkan sepanjang program berlangsung,” katanya.

Menurut beliau, semua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Mohd Arifin merakamkan penghargaan kepada PDRM Negeri Sabah khususnya IPD Kota Kinabalu atas kerjasama dalam memastikan operasi berjalan lancar.

Beliau menegaskan kerajaan negeri melalui JHEAINS akan terus memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta keharmonian masyarakat terus terjamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN