Bayaran pampasan umrah dilanjut ke Mac - Utusan Malaysia

Bayaran pampasan umrah dilanjut ke Mac

SULAIMAN Md. Ali (tiga dari kanan) melancarkan Majlis MMU sambil diperhatikan Idris Ahmad (tiga dari kiri) di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bayaran pampasan untuk jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadah itu sepanjang penutupan sementara sempadan negara selama sebulan bermula 8 Januari lalu akibat penularan Covid-19, akan dilanjutkan sehingga Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, bayaran pampasan itu yang sepatutnya tamat Jumaat ini dilanjutkan bertujuan memberi kelonggaran kepada kira-kira 1,000 jemaah membuat urusan dengan Tabung Haji (TH).

Menurutnya, sebahagian besar daripada bakal jemaah dan mereka yang terkandas serta mengalami kerugian tidak mempunyai akaun TH.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, jemaah terbabit perlu membuka akaun baharu di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara, kerana pembayaran akan dimasukkan terus ke akaun mereka melalui peruntukan disediakan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan.

“Saya minta mana-mana jemaah yang ingin menerima pampasan segera buka akaun di TH. Saya telah minta semua cawangan di seluruh negara untuk memudahkan semua urusan bagi mengagihkan bayaran pampasan tersebut.

“Lanjutan tempoh bayaran pampasan yang sepatutnya berakhir Jumaat ini telah dilanjutkan ke Mac depan dan TH telah diarahkan untuk memaklumkan mengenai perkara ini kepada semua pejabat cawangan di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini.

Mengulas mengenai khidmat 35,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara diserapkan ke jawatan tetap, Idris berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih di peringkat perbincangan.

Beliau turut memberi jaminan perkara tersebut akan diselesaikan dengan segera, walaupun mengambil masa yang agak lama untuk memuktamadkannya.

“Kekangan yang dihadapi mengenai beberapa perkara yang perlu diselesaikan seperti menyelaraskan masa kerja guru Kafa, penetapan servis perkhidmatan dan premis yang digunakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini