PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera memperbaiki dan memperkemaskan sistem pentadbiran negara termasuk menyekat amalan rasuah, melaksanakan Akta Dana Politik serta menghentikan undang-undang yang menzalimi rakyat.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelak Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal.
“Malaysia akan menjadi negara gagal jika kita tak memperbaiki sesuatu perkara dalam sistem pentadbiran negara. Akta Dana Politik harus diperkasa, jika tidak Malaysia akan jadi negara gagal.
“Wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, sepatutnya bersuara bagi pihak orang yang memilih. Tapi dia pula ikut telunjuk orang yang bayar duit kepada mereka,” katanya dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia di kediamannya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang politik wang, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, budaya itulah yang menggalakkan orang lompat parti.
“Antara kaedahnya ialah dengan menawarkan jawatan, tawarkan duit, tawarkan macam-macam.
“Macam-macam cara, malah ada yang tawarkan perempuan, ada yang tawarkan harta benda. Pendek kata, ini budaya yang sangat buruk,” katanya.
Menurut Ku Li, politik wang terus berleluasa apabila banyak golongan kepentingan yang hendak berkuasa dan mencari peluang malah situasi itu berlaku dalam UMNO juga apabila diperkenalkan sistem bonus dalam perlembagaan parti.
Kalau hendak bertanding, kena dapat pencalonan banyak, himpunan undi disifatkan sebagai undi bonus membolehkan layak bertanding.
“Jadi kerana ini, maka hebatlah mainan wang, maka bermula politik wang. Maka orang hendak kepada undi, maka mula tawar menawar kuasa memberi sokongan undi kepada orang kehendak kepada jawatan, maka bermula politik wang.
“Jadi orang berkehendakkan kedudukan jawatan, maka mula mencari wang. Maka mula menawar, kontraktor, apabila jadi kontraktor mula masuk kontrak walaupun tidak tahu apa jenis kontrak.
“Cuma hendak kertas, kalau dikatakan tawaran kontrak bernilai RM10 juta barangkali kontrak itu bernilai RM5 juta, maka dia jual dan dapat RM5 juta, maka digunakan duit itu untuk tabur mencari pengaruh sokongan dan ini merosakkan UMNO,” katanya.
Dalam pada itu Razaleigh berkata, kerajaan tidak perlu meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mengenakan denda sehingga RM10,000 dan penjara tujuh tahun.
“Apa perlunya satu undang-undang draconian macam ini? Padahal undang-undang sedia ada sudah cukup sebenarnya untuk digunakan bagi memujuk rakyat menerima vaksin yang kita mahu suntik pada mereka,” ujarnya. – UTUSAN










